Selepas hotel, Nurulhidayah realisasi impian 10 tahun lalu, perkenal minyak masak jenama Kak Long


  • Sukses
  • Ahad, 09 Nov 2025

Minyak masak Kak Long menandakan satu lagi pencapaian baharu buat Nurulhidayah (gambar kiri) dalam bidang perniagaan. — Instagram/nurul.zahid

SELEPAS kejayaan mengusahakan Hotel Teedo bersama suami sejak November tahun lalu, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid kini melebarkan langkah dalam dunia keusahawanan dengan memperkenalkan jenama minyak masak.

Minyak masak Kak Long menandakan satu lagi pencapaian baharu buat beliau dalam bidang perniagaan, hasil minat mendalam dan pengalaman yang dikumpul sepanjang penglibatannya dalam industri kulinari.

Menurut isteri kepada Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff itu, idea tersebut sebenarnya tercetus hampir 10 tahun lalu, sewaktu beliau mengacarakan rancangan masakan popular Inspirasi Ramadan.

BACA LAGI: [VIDEO] Nurulhidayah, suami transformasi Hotel Teedo ke penginapan mesra bajet, ibu bantu hiasan landskap

BACA LAGI: Persembah koleksi hikayat moden, Ariani pilih Siti Khadijah, Siti Saleha antara wajah baharu kempen raya

 

 

Berbeza dengan kebanyakan usahawan yang perlu melalui proses panjang bagi mendapatkan kilang serta menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D), perjalanan Nurulhidayah agak lancar.

"Sebenarnya saya tidak mengambil masa yang lama kerana rakan kongsi sendiri adalah pemilik kilang pembungkusan minyak masak.

"R&D juga tidak diperlukan kerana kilang tersebut telah lengkap dengan lesen dan pensijilan halal daripada Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia).

"Saya hanya perlu menumpukan pada strategi jenama dan pemasaran,” katanya kepada Majoriti.

Menariknya, keseluruhan konsep dan identiti Minyak Masak Kak Long adalah hasil sentuhan peribadi anak sulung kepada pasangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datin Seri Hamidah Khamis sendiri.

Nurulhidayah menjalankan jualan produk minyak masak Kak Long di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia di Shanghai, China baru-baru ini. — Instagram/nurul.zahid 

Namun akui beliau, menguruskan perniagaan dalam industri makanan yang sangat kompetitif bukanlah tugas mudah.

"Cabaran sudah tentunya datang daripada mereka yang sudah lama bertapak dalam pasaran komoditi.

“Persaingan harga dan meletakkan jenama baharu seperti Kak Long di kedudukan yang setanding adalah antara cabaran besar.

"Namun saya percaya, dengan kualiti dan strategi pemasaran berkesan, kita mampu menembusi pasaran tersebut,” ungkapnya.

Buat masa ini kongsi beliau, Minyak Masak Kak Long memberi tumpuan pada pasaran luar negara, namun perancangan untuk menembusi pasaran tempatan sedang disusun rapi.

Nurulhidayah kini perlu menumpukan pada strategi jenama dan pemasaran minyak masak Kak Long. — Instagram/nurul.zahid 

“Insya-ALLAH, kami merancang untuk menempatkan produk ini di rangkaian pasar raya seperti Mydin dan beberapa pasar raya besar utama tidak lama lagi,” katanya yang menjalankan jualan produk minyak masak jenama Kak Long di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia di Shanghai, China, bersempena Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) baru-baru ini.

Berkongsi mengenai harga pula, beliau menjelaskan, ia akan mengikut harga pasaran semasa yang ditetapkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) serta bergantung pada berat dalam kilogram.

"Kehadiran Minyak Masak Kak Long bukan sekadar menambah satu lagi pilihan di pasaran, tetapi juga lambang keazaman wanita untuk terus mencipta ruang dalam dunia perniagaan yang kompetitif," ujarnya yang kini menyambung pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD)  Sains Sosial di Universiti Selangor (UNISEL). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram