KONGLOMERAT mewah LVMH dilaporkan sedang meninjau kemungkinan untuk menjual 50 peratus sahamnya dalam jenama kosmetik Fenty Beauty, yang diasaskan bersama bintang global, Rihanna.
LVMH telah mendapatkan khidmat bank pelaburan Evercore untuk memberi nasihat mengenai potensi transaksi itu.
Memetik laporan Reuters, sumber menjangkakan penilaian jenama itu boleh berada antara Amerika Syarikat (AS)$1 bilion (RM4 bilion) hingga AS$2 bilion (RM8 billion).
BACA LAGI: Rihanna gah cipta legasi, jana RM6.7 bilion hasil bisnes kosmetik, penjagaan kulit wajah
BACA LAGI: Kisah bekas broker saham jual perabot secara online, tak pening fikir kos sewa kedai
Fenty Beauty dilancarkan pada 2017 di bawah Kendo Brands milik LVMH.
Ia dengan cepat mengubah industri kecantikan kerana menawarkan banyak pilihan warna untuk semua kulit, sekali gus menjadikan Rihanna seorang bilionair.
Potensi penjualan itu selari dengan trend terkini LVMH untuk menyusun semula perniagaan mereka secara strategik, sama seperti pesaingnya, Kering yang menjual divisyen kecantikan mereka pada L’Oréal.
Langkah tersebut menunjukkan LVMH mungkin ingin menumpukan perhatian baharu dalam divisyen Perfumes & Cosmetics, yang walaupun stabil, tidak menunjukkan pertumbuhan sangat pesat.
Pada 2025, Fenty Beauty dikatakan mencatatkan penurunan jualan dua digit di Amerika Utara, lapor sumber dalaman LVMH.
Antara faktor penyumbang termasuk kehilangan ruang pameran utama di Sephora, yang memberi impak ketara pada capaian produk kepada pelanggan.
Sumber turut memberitahu, pendapatan Fenty Beauty mencapai kemuncak beberapa tahun lalu dan kini tidak lagi menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan.
Disebabkan itu, syarikat berpendapat bahawa Fenty Beauty bukan aset teras dalam portfolio mereka dan memutuskan tidak membeli baki 50 peratus saham jenama tersebut.
Keputusan itu menandakan perubahan strategi LVMH dalam menumpukan perhatian kepada aset yang lebih strategik dan berpotensi menghasilkan pulangan yang lebih tinggi.

Difahamkan, pendapatan Fenty Beauty kini tidak lagi menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan.
Fahami aset teras
Penjualan saham LVMH dalam Fenty Beauty adalah contoh nyata tentang aset teras.
Walaupun Fenty Beauty merupakan jenama selebriti yang sangat popular, LVMH mungkin menilai bahawa jenama tersebut tidak lagi memberi pulangan yang optimum dalam portfolio mereka, atau tidak sepadan dengan fokus strategik divisyen Perfumes & Cosmetics.
Menurut laporan Investopedia, aset teras ialah semua aset penting dan bernilai yang diperlukan oleh syarikat untuk menjalankan perniagaan harian serta terus menjana keuntungan.
Aset itu boleh dibiayai melalui modal jangka panjang seperti bon atau dengan mengambil hutang.
Aset semasa teras juga kadangkala dirujuk sebagai modal kerja utama (hardcore working capital).
Dalam konteks kewangan lain, aset teras juga boleh merujuk kepada instrumen pelaburan utama yang dimiliki seorang pelabur dalam portfolionya, seperti saham dan bon.

Fenty Beauty mencatatkan penurunan jualan dua digit di Amerika Utara, lapor sumber dalaman LVMH.
Strategi perniagaan
Sebagai sebahagian daripada strategi perniagaan, sesebuah firma memerlukan aset yang penting untuk melaksanakan strategi tersebut.
Aset itu dipanggil aset teras dan ia sangat penting untuk memastikan syarikat terus berjaya dari segi kewangan.
Aset teras boleh berbentuk benda nyata seperti mesin, kilang, saluran pengedaran, anak syarikat atau benda tidak nyata seperti tanda dagangan, paten mahupun harta intelek.
Tanpa aset teras, perniagaan tidak dapat bertahan dan akan gagal.
Syarikat yang menghadapi masalah kewangan biasanya akan mula menjual aset bukan teras terlebih dahulu, kerana aset itu tidak penting untuk kelangsungan operasi perniagaan.
Contoh
Perniagaan dalam industri atau kawasan berbeza akan mempunyai aset teras yang berlainan.
Misalnya, restoran mungkin memerlukan peralatan dapur dan premis sebagai aset teras.
Syarikat reka bentuk perisian pula akan menganggap harta intelek sebagai aset teras walaupun bersifat tidak ketara.
Penganalisis dan pelabur memantau aset teras syarikat untuk melihat sebarang perubahan penting atau trend membimbangkan.
Jika perniagaan perlahan, syarikat mungkin terpaksa menjual aset teras untuk mendapatkan modal bagi membayar liabiliti semasa, yang berisiko menjejaskan operasi kerana input penting mungkin tidak tersedia kemudian. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
