TINDAKAN segelintir peniaga makanan yang meletakkan plastik pembungkus minyak terus ke dalam kuali menimbulkan kemarahan dalam kalangan masyarakat.
Mengulas mengenai kejadian tersebut, seorang tenaga pengajar Kursus Latihan Pengendali Makanan mendedahkan pengalaman mengejutkan yang pernah disaksikan sendiri sepanjang lapan tahun mengendalikan kursus tersebut.
Menurutnya, ia termasuk amalan bahaya melibatkan pengendalian minyak masak oleh sesetengah peniaga makanan.
"Semua dark side (sisi buruk) peniaga makanan ini dalam tangan saya saja. Bukan saya minta, mereka yang bercerita.
"(Perangai) ini adalah salah satu daripadanya. Ramai kata (peniaga Indonesia) yang banyak buat macam ini, tapi percayalah saya pernah nampak depan mata sendiri.
"Dia (peniaga) buka plastik minyak tak pakai gunting, celupkan saja plastik itu sikit dalam minyak untuk bagi terbuka.
"Bayangkan dakwat pada plastik dan bahan kimia seperti plasticizer yang masuk sekali dalam (makanan) bergoreng itu,” katanya menerusi hantaran di aplikasi Threads pada Jumaat.
Lebih mengejutkan, dakwanya, perbuatan itu berlaku di kedai kegemarannya, yang terkenal kerana makanan bergorengnya kekal rangup walaupun selepas sejuk.
Beliau berkata, warna minyak yang digunakan juga sering menunjukkan tanda-tanda tidak selamat untuk digunakan, namun masih ada peniaga yang terus menggunakannya demi menjimatkan kos.
"Nasihat saya kepada semua, melilau lilaulah sikit mata itu semasa membeli atau makan. Tak kena tak apalah, dah kena serik," ujarnya.
Pendedahan itu menarik perhatian ramai di media sosial, dengan rata-rata menyuarakan kebimbangan terhadap tahap kebersihan dan keselamatan makanan yang disediakan di sesetengah premis.
"Pernah tengok gerai goreng pisang di pantai timur. Dia lepas minyak dalam kuali dengan plastik sekali, pisang garing sampai malam katanya," tulis rohanah_ahmad.
"Ya, saya juga pernah melihatnya dengan mata sendiri di premis pisang goreng terkenal dekat Johor Bahru, Johor," kata sleepyassjass. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
