'Wanita Malaysia kreatif tapi kurang ilmu keusahawanan', pakar saran cari 'coach' serasi nak bisnes kekal lama


  • Sukses
  • Khamis, 13 Nov 2025

Wanita perlu mendapatkan bimbingan daripada jurulatih yang sesuai bagi memantapkan ilmu dan hala tuju perniagaan masing-masing. — Gambar hiasan

DALAM dunia keusahawanan moden semakin kompetitif, wanita disaran mendapatkan bimbingan daripada jurulatih yang sesuai bagi memantapkan ilmu dan hala tuju perniagaan masing-masing.

Ketua Unit Pemasaran dan Pembangunan Usahawan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), Noorhazreen Ab Ghani berkata, memiliki semangat sahaja tidak cukup untuk menjamin kejayaan jangka panjang dalam dunia perniagaan yang dinamik hari ini.

Menurutnya, wanita Malaysia sangat kreatif namun ramai masih kurang mendalami ilmu keusahawanan. 

BACA LAGI: Idea spontan suami isteri pindah Langkawi, ubah sisi kehidupan dari kerjaya di bandar besar ke bisnes dusun tropika

BACA LAGI: Siti Saleha dilantik Profesor Adjung Universiti Taylor, 3 lagi selebriti wanita bergelar pendidik

Noorhazreen (kanan) berkata, antara kesilapan usahawan wanita paling ketara ialah memilih jurulatih yang tidak sesuai dengan tahap dan keperluan perniagaan mereka.

"Nak mulakan perniagaan memang mudah, tetapi untuk kekal dan berkembang memerlukan ilmu, latihan dan bimbingan berterusan,” katanya kepada Majoriti.

Mengulas mengenai kesilapan biasa yang sering dilakukan usahawan wanita, Noorhazreen berkata, antara paling ketara ialah memilih jurulatih yang tidak sesuai dengan tahap dan keperluan perniagaan mereka.

Jelas beliau, setiap jurulatih memiliki kepakaran dan gaya mengajar tersendiri. 

"Kalau terlalu tinggi tahapnya, usahawan baharu mungkin sukar nak ikut. 

"Jadi, pilih coach yang sepadan dengan kemampuan dan peringkat bisnes masing-masing,” ujarnya lagi.

Beliau turut menasihati usahawan wanita agar tidak takut untuk membina jaringan dan terus menimba ilmu melalui komuniti keusahawanan.

Usahawan katanya, tidak disarankan untuk bergerak seorang diri. 

"Sebaliknya sertai kumpulan usahawan, hadiri mana-mana program dan jumpa ramai orang. 

"Dari situ kita akan jumpa jurulatih yang sesuai atau mungkin juga ‘jodoh’ bisnes sebenar,” selorohnya.

Usahawan wanita disarankan agar tidak takut untuk membina jaringan dan terus menimba ilmu melalui komuniti keusahawanan.

Beliau menjelaskan, PUNB sebagai agensi di bawah kerajaan komited membantu usahawan Bumiputera termasuk wanita, dengan menyediakan pelbagai pakej pembiayaan serta latihan keusahawanan bagi memperkukuh daya saing mereka.

“Kami bukan hanya beri pembiayaan, usahawan yang mendapat bantuan daripada PUNB turut diwajibkan mengikuti latihan dan sesi jaringan supaya mereka tidak ketinggalan dalam dunia bisnes,” ujarnya.

Menurut Noorhazreen, jumlah penyertaan wanita di bawah pembiayaan PUNB juga menunjukkan peningkatan setiap tahun, hasil pelbagai inisiatif pembangunan dan latihan yang disediakan oleh agensi itu.

Tegasnya, ilmu, jaringan dan bimbingan yang betul merupakan kunci utama bagi memastikan usahawan wanita bukan sahaja berjaya membuka perniagaan, tetapi juga mampu mengekalkannya dalam jangka panjang.

“Teruskan belajar dan cari ilmu. Dunia kini semakin canggih dengan teknologi dan AI (kecerdasan buatan), jadi kita perlu bijak memanfaatkan peluang serta ilmu untuk kekal relevan,” tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram