[VIDEO] Peniaga Malaysia boleh ikut cara Thailand gunakan 'oil spinner' buang lebihan minyak, jadikan makanan bergoreng lebih sihat


  • Sihat
  • Ahad, 29 Sep 2024

Penggunaan 'oil spinner' membantu mengurangkan minyak dalam pisang goreng.

PISANG goreng merupakan satu menu cukup menyelerakan. Bukan saja di Malaysia, malah ia turut dinikimati di negara-negara serantau seperti Indonesia, Singapura dan Thailand.

Menu yang cukup menyelerakan itu memerlukan pisang yang dicampurkan dengan adunan batter kemudiannya digoreng dalam minyak panas.

Tekstur batter yang membuatkan pisang goreng itu rangup di luar serta kelembutan buah itu sendiri menjadikan ia satu snek yang cukup sempurna untuk dinikmati oleh sesiapa saja.

BACA LAGI: Terkejut situasi obesiti di Malaysia, Lee ambil langkah berani buka Salad Atelier sedia makanan sihat

BACA LAGI: Kencing manis dan asma saling berkaitan? Kajian dedah pesakit diabetes lebih berisiko berbanding individu sihat

Namun begitu, snek itu boleh dianggap sebagai 'tidak sihat' kerana penggunaan minyak yang banyak dalam menggorengnya.

Ia menjadikan sesetengah pihak yang menjaga pemakanan lazimnya akan memilih untuk tidak menikmatinya walaupun pisang goreng sebuah snek menyelerakan.

Akan tetapi di Thailand, pembuatan pisang goreng sudah berada di tahap yang berbeza dengan mereka menggunakan teknologi untuk menyingkirkan minyak berlebihan dalam snek tersebut.

Peniaga pisang goreng di Thailand menggunakan oil spinner untuk mengeluarkan minyak yang berlebihan selepas pisang digoreng di kuali.

Selepas pisang digoreng di kuali, ia akan dipindahkan ke dalam oil spinner. Pisang-pisang tersebut akan diputar dengan kelajuan tinggi untuk mengeluarkan minyak berlebihan. Minyak yang berlebihan itu kemudiannya diasingkan di bahagian lain sebelum pisang tersebut dijual kepada pelanggan.

Cara itu dilihat membantu menjadikan pisang goreng snek yang lebih sihat dan boleh dinikmati oleh semua orang tanpa rasa bersalah kerana makan makanan berminyak dalam kadar yang banyak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram