TANPA pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) atau bantuan tetap, seorang anak yatim daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah, gigih menjual snek popular berasaskan coklat dan bijiran demi menampung pengajian hingga berjaya bergelar graduan.
Berita tersebut dikongsikan menerusi akaun Facebook rasmi universiti berpangkalan di Sintok, Kedah itu.
Siti Hanisah Rizal, 24, graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Risiko dan Insurans menampung kehidupan kampus dengan menjual makanan ringan hasil air tangannya sendiri.
BACA LAGI: McDonald’s Malaysia agih zakat korporat RM2 juta tahun ini, jelajah 14 negeri
BACA LAGI: McDonald’s Malaysia agih zakat korporat RM2 juta tahun ini, jelajah 14 negeri
Menurut Siti Hanisah, perniagaan kecil yang bermula di dapur asrama itu menjadi sumber kekuatan untuk terus bertahan tanpa bergantung pada pinjaman atau bantuan luar.
“Saya mula berniaga sejak semester empat. Dahulu jual mi segera dan ramen, tapi kemudian saya cuba buat snek berasaskan coklat dan bijiran. Dari situ saya belajar erti sabar dan rezeki,” katanya.
Anak kepada pasangan Allahyarham Rizal Mulot dan Allahyarhamah Maimon Adam itu kehilangan kedua ibu bapanya akibat kanser pada 2018 dan 2020.
Kini, beliau menjadi tulang belakang kepada tiga adik yang masih menuntut iaitu Nur Najiah Raihana berusia 21 tahun, Muhammad Adam Muqriz, 19, dan Siti Rawdah Hanim, 17 yang dijaga oleh saudara mereka.
Walaupun diuji kehilangan dan kekangan kewangan, Siti Hanisah tidak pernah menjadikan itu alasan untuk berputus asa.
“Saya belajar bahawa hidup ini sendiri adalah pengurusan risiko. Kita merancang, tetapi ALLAH SWT juga yang menentukan,” ujarnya.
Sepanjang tempoh pengajian, Siti Hanisah bukan sekadar menumpukan perhatian pada akademik, malah aktif dalam kepimpinan dan aktiviti kesukarelawanan.
Beliau pernah memegang jawatan naib presiden kelab akademik dan menyertai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) melawat rumah anak Yatim.
Siti Hanisah yang ketika ini memulakan langkah baharu dalam kerjaya sebagai ejen insurans takaful sepenuh masa di sebuah syarikat takaful dekat Johor Bahru, Johor tekad untuk membantu masyarakat memahami kepentingan perlindungan kewangan dan perancangan masa depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
