VARIASI dan olahan baharu makanan di Malaysia semakin memberi cabaran bagi memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat setempat.
Ia tidak dinafikan apabila munculnya pelbagai trend makanan tular di media sosial yang kebanyakannya mengandungi kalori tinggi dan berisiko terutamanya terhadap kanak-kanak.
Bagi mencegah amalan tidak sihat itu menjadi barah dalam generasi muda, langkah proaktif perlu dimulakan dari peringkat awal.

Trend makanan yang tidak sihat antara cabaran kepada generasi kini. — Gambar hiasan
Menyokong usaha untuk menuju perubahan itu, seorang Profesor di Jabatan Pemakanan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan di Universiti Putra Malaysia (UPM) Seri Kembangan, Selangor berkongsi caranya dalam mendidik anak-anak dalam memilih pemakanan sihat.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Dr Norhasmah Sulaiman, 55, permulaan itu boleh dilakukan oleh para ibu bapa di rumah lebih-lebih lagi ketika makan bersama.
Ibu kepada lima orang anak itu bagaimanapun tidak menolak bahawa sememangnya terdapat halangan dan kesukaran untuk memastikan makanan yang dipilih baik untuk kesihatan.
Katanya, antara cara sering diamalkan adalah bermula dengan menerapkan anak-anak mengambil sayur dalam setiap pemakanan.
"Kalau keluarga saya, selalunya kami akan cuba berkumpul dan makan bersama-sama terutamanya waktu malam. Ketika makan pula, saya memang pastikan ada hidangan sayur tidak mengira jenisnya di atas meja untuk anak-anak makan.
"Kalau tak sempat nak masak atau tumis sayur, saya akan sediakan salad kosong sahaja," katanya kepada Majoriti.

Dr Norhasmah Sulaiman
Menurut Dr Hasmah yang menetap di Bangi bersama keluarganya, menjadikan ia sebagai amalan harian bukan perkara mudah.
Masakan tidak, dia terpaksa menggunakan cara berbeza lebih-lebih lagi untuk memastikan anak bongsunya berumur 11 tahun yang tidak dapat menerima semua jenis sayuran.
Bercerita tentang anaknya itu, beliau tidak menafikan bahawa kanak-kanak seawal usia tersebut mempunyai kerenah tersendiri apabila memilih makanan.
“Berbeza dengan kakak dan abangnya yang sudah dewasa, anak terakhir saya ada jenis sayur dia tidak suka.
“Contohnya seperti sayur sawi kerana rasanya pahit. Tapi, saya ambil langkah untuk suruh dia cuba dahulu dan lihat jika boleh terima atau tidak.
“Apabila betul-betul tidak boleh, saya akan sarankan kepadanya untuk makan sayur lain pula seperi salad atau bendi,” jelasnya.
Bukan sekadar itu, kawalan daripada segi pengambilan gula juga amat dititikberatkan dalam keluarganya.
Dr Hasmah juga berkata, kelima anaknya sangat diajar supaya tidak mengambil minuman bergula mahupun manisan seperti kek kecuali hari perayaan yang julung kali disambut.

Dr Norhasmah bersama keluarga tercinta.
Katanya, hasil ajarannya dilihat memberi impak positif khususnya terhadap anak kecilnya itu ketika di sekolah.
"Saya rasa anak terakhir sangat suka bercakap dan dia ada bercerita tentang nilai yang diterapkan di rumah kepada kawan-kawannya.
"Ada satu masa itu, dia beli popia goreng berintikan pisang dan digoreng dengan minyak penuh. Jadi, dia pun lap popia yang terlalu berminyak dengan menggunakan tisu sebelum makan," katanya.
Memahami situasi sekarang, wanita bekerjaya itu juga tidak bertindak mengongkong atau menyekat anak-anaknya untuk merasai makanan berkalori seperti biasa.
Baginya, terdapat waktu tertentu sahaja anak-anak boleh membeli makanan berkalori tinggi dengan syarat perlu mengawal kuantiti pengambilannya.
Dr Hasmah berkata, sebanyak dua kali dalam sebulan atau ketika perayaan Hari Raya Aidilfitri merupakan waktu yang dibenarkan untuk mengambil makanan atau minuman bergula.
Beliau pada masa sama menasihatkan kepada orang ramai khsususnya ibu bapa agar meneliti pemakanan dan gaya hidup yang diamalkan anak-anak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
