Tiket masuk percuma Zoo Negara antara 4 aktiviti menarik untuk diterokai anak-anak sempena Hari Kanak-Kanak 2025


  • Bonda
  • Jumaat, 14 Nov 2025

Sambutan Hari Kanak-Kanak 2025 diraikan dengan pelbagai program serta aktiviti menarik tahun ini. — Gambar hiasan/Janaan AI

SAMBUTAN Hari Kanak-Kanak Sedunia disambut setiap tahun pada 20 November bagi menghargai hak, kebajikan dan kebahagiaan kanak-kanak di seluruh dunia.

Tarikh itu ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) bagi menekankan kepentingan memberi perlindungan, pendidikan dan peluang buat generasi muda.

Di peringkat global, penekanan turut diberikan kepada hak kanak-kanak untuk bermain, belajar serta dididik dalam suasana yang selamat dan penuh kasih sayang.

BACA LAGI: Anak autisme Fadhlina Sidek obses bendera dunia, kekal optimis walaupun didiagnos lewat

BACA LAGI: Hilang 6 hari, kanak-kanak selamat kembali ke pangkuan ibu bapa lepas 4 kali dijual sindiket penculikan

Istimewa tahun ini, sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia 2025 diserikan lagi dengan beberapa inisiatif komuniti di Malaysia yang menawarkan pelbagai aktiviti menarik bagi memberi pengalaman bermakna buat kanak-kanak dan seisi keluarga.

1. Zoo Negara masuk percuma

Tahun ini, Zoo Negara menawarkan kemasukan percuma kepada kanak-kanak berumur 3 hingga 12 tahun pada 22 dan 23 November 2025.

Inisiatif itu difahamkan bukan sahaja sekadar hiburan, tetapi juga berperanan dalam mendidik, membolehkan kanak-kanak mengenali kepelbagaian haiwan, habitat semula jadi.

Zoo Negara menawarkan kemasukan percuma sempena sambutan Hari Kanak-Kanak 2025.

Bagi memastikan kelancaran program, ibu bapa dan penjaga perlu mengambil perhatian terhadap beberapa syarat berikut:

1. Tawaran sah untuk rakyat tempatan sahaja.

2. Penebusan tiket percuma hanya untuk pengunjung yang hadir terus ke kaunter tiket.

3. Kanak-kanak perlu menunjukkan MyKid asal untuk pengesahan.

4. Tiket percuma tidak boleh digunakan pada tarikh lain.

5. Promosi ini tidak terpakai untuk rombongan sekolah.

2. Permainan tradisional di Hospital Tunku Azizah

Program anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negara bertemakan 'Ceria Bersama Permainan Tradisional' itu memberi tumpuan kepada aktiviti kreatif dan pendidikan yang akan diadakan di Hospital Tunku Azizah (HTA), Kuala Lumpur pada 9 Disember 2025.

Pelbagai aktiviti menarik antaranya:

- Persembahan seni dan aktiviti kreatif.

- Pelbagai permainan tradisional yang menggalakkan interaksi dan kemahiran sosial.

- Aktiviti khas 'Mari Mencuba' oleh Jabatan Belia dan Sukan.

- Hadiah dan cenderamata eksklusif untuk peserta.

3. Teroka dunia pelaburan bersama ASNB

- 23 dan 24 November 2025

- Stadium Merdeka, Kuala Lumpur

Sebagai usaha membina generasi celik kewangan, program ini memperkenalkan kanak-kanak kepada konsep asas kewangan:

- Pendaftaran akaun baharu dan perancangan kewangan

- Kuiz dan aktiviti literasi kewangan

- Interaksi dengan maskot popular seperti Along, Angah, Achik dan animasi popular Boboiboy

Aktiviti tersebut bertujuan menggalakkan kanak-kanak belajar menabung dan memahami pengurusan kewangan sejak awal, sambil berhibur dengan pelbagai permainan interaktif.

4. Program Hari Tanpa Kenderaan & Festival Makan @ Ampang 2025

- 14 hingga 16 November 2025

- Padang Perbandaran MPAJ, Pandan Indah

Program ini memberi pengalaman menyeronokkan dan sihat untuk kanak-kanak seisi keluarga seperti:

- Festival makanan tempatan dan antarabangsa.

- Fun Walk, sukaneka kanak-kanak dan cabaran Chef Cilik.

- Pertandingan mewarna, karaoke, cosplay dan zumba.

- Edaran susu Farm Fresh, popcorn, cotton candy serta permainan interaktif.

- Meet & Greet bersama maskot King Oyen.

- Jualan Rahmah dengan barangan menarik.

Program Hari Tanpa Kenderaan anjuran Majlis Perbandaran Ampang Jaya

Melalui pelbagai aktiviti kreatif, pendidikan, permainan tradisional dan promosi kesihatan, kanak-kanak dapat bermain dalam masa sama belajar dalam persekitaran yang menyeronokkan.

Dengan bimbingan dan sokongan ibu bapa, ia sekali gus menjadi suara terhadap hak kanak-kanak dan memastikan setiap generasi muda diberikan peluang terbaik untuk mencapai potensi penuh mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram