DALAM era digital hari ini, soal privasi telefon pintar sering menjadi antara topik sensitif dalam hubungan suami isteri.
Ada berpendapat ia sebagai ruang peribadi yang tidak wajar diganggu, namun segelintir masyarakat melihat keterbukaan itu sebagai kunci kepercayaan dalam sesebuah rumah tangga.
Pandangan itu turut disuarakan oleh pelakon dan usahawan tersohor, Adam Corrie yang tampil berkongsi pendirian beliau mengenai isu tersebut.
BACA LAGI: Anak autisme Fadhlina Sidek obses bendera dunia, kekal optimis walaupun didiagnos lewat
BACA LAGI: 'Sebiji macam jaga bayi', anak mandikan ibu strok bagai jenazah, rela jaga selagi ada kudrat
Menurut bintang filem KL Gangster itu, sejak awal perkahwinan bersama isterinya, Fazema Mohd Fuad, beliau sama sekali tidak pernah meletakkan sempadan dalam hal membabitkan privasi apatah lagi berkaitan telefon pintar.
Katanya, hidupnya lebih mudah dan tenang apabila pasangan saling tahu apa yang berlaku dalam kehidupan masing-masing.
"Saya dari awal kahwin lagi memang tak kisah pun, senang bila isteri tahu semua. Tak ada benda nak sorok, tak ada ruang untuk sangsi," katanya di laman Threads.
Tambahnya, keterbukaan itu sama sekali tiada kaitan dengan isu kepercayaan, tetapi sebagai satu bentuk transparensi kecil yang membantu mengukuhkan kejujuran dalam rumah tangga.
"Kalau kita tak buat salah, kenapa nak sembunyi? Kadang bukan soal tak percaya, tapi soal kejujuran kecil yang buat hubungan rasa tenang," tambahnya.
Sekadar info, Adam Corrie dan isterinya telah mendirikan rumah tangga sejak 2012 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Adam Fateh, yang sering menjadi tumpuan peminat.
Selain aktif dalam dunia seni dan dakwah, pasangan itu juga banyak terlibat dalam beberapa cabang perniagaan kecil, termasuk bisnes berkaitan fesyen gaya hidup Muslim dan rangkaian restoran diusahakannya di ibu negara.
Dikenali sebagai antara selebriti yang menjaga imej keluarga dan jarang terpalit kontroversi, ketelusan diamalkan dalam hubungan suami isteri dikatakan antara asbab mahligainya sentiasa harmoni. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
