PERPISAHAN antara ibu dan ayah tidak semestinya menjadi pengakhiran kepada kebahagiaan sesebuah keluarga.
Ada kalanya, ia membuka ruang kepada bentuk kasih sayang lebih luas khususnya buat anak yang secara tidak langsung berpeluang mempunyai keluarga baharu menerusi perkahwinan kali kedua ibu bapa mereka.
Inilah kisah menyentuh hati dikongsikan seorang ibu mengenai anaknya, Piya, yang membesar dikelilingi dua figura lelaki bergelar bapa.
BACA LAGI: Anak autisme Fadhlina Sidek obses bendera dunia, kekal optimis walaupun didiagnos lewat
Menurut Yaya Mohamad, anak perempuannya mesra disapa Piya, disifatkan bertuah kerana dibesarkan dengan penuh kasih oleh dua insan penyayang iaitu ayah kandung dan bapa tiri.
Walaupun berbeza latar dan peranan, kedua-duanya tetap bertanggungjawab dan menyalurkan kasih sayang tidak berbelah bahagi.
"Bertuah seketul Piya ni, punya dua ayah yang penyayang lagi pengasih, sama-sama bertanggungjawab membesarkan Piya sampai ke hari ini," katanya di laman Facebook.
Tambahnya, hubungan mereka tetap baik walaupun jarak memisahkan, ayah kandung Piya yang tinggal di utara tanah air masih kekal berhubung dan sering bertanya khabar hingga ke hari ini.
Setiap kali pulang ke kampung, mereka akan berkumpul seperti sebuah keluarga besar termasuk ketika musim perayaan.
"Walau ayah kandung jauh di mata, kami sentiasa berhubung bertanyakan khabar dan bila pulang ke utara, boleh saling berjumpa macam keluarga.
"Masa raya pun boleh duduk ramai-ramai makan ketupat dan rendang," katanya.
Dalam masa sama, bapa tiri yang kini tinggal bersamanya turut memainkan peranan penting dalam membesarkan Piya, malah melayan si kecil itu bagaikan puteri sendiri tanpa sebarang rungutan.
"Dengan daddy di depan mata, melayan Piya bagaikan puteri sendiri, cukup baik tak terperi dan tak berkira duit ringgit," ujarnya penuh syukur.
Mengakhiri perkongsiannya, ibu berkenaan menzahirkan rasa terima kasih tidak terhingga kepada kedua-dua lelaki istimewa tersebut yang menjadi tulang belakang kepada kebahagiaan anaknya.
"Terima kasih tidak terhingga buat keduanya, moga ALLAH balas jasa kalian dengan pahala dan reda yang menjadi tiket untuk ke syurga," katanya.
Difahamkan, Piya baru-baru ini selesai menamatkan pengajiannya di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan telah selamat menjalani majlis konvokesyen ke-29 di pusat pengajian terkemuka Sarawak itu.
Terkesan dengan hantaran tersebut, rata-rata warganet memuji kematangan dan keharmonian keluarga tersebut terutamanya tanggungjawab serta peranan dipikul kedua-dua bapa remaja berkenaan.
Ia sekali gus menjadi bukti dan gambaran bahawa kasih sayang mampu melangkaui batas darah dan status seseorang biarpun sekadar bergelar keluarga tiri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
