SETIAP anak istimewa ataupun orang kelainan upaya (OKU) mempunyai keistimewaan tersendiri sama ada mahir dalam muzik, akademik dan tidak kurang juga berbakat besar dalam seni visual.
Perkara itu boleh digambarkan menerusi perkongsian seorang remaja autistik berusia 17 tahun apabila hasil lukisan kartunnya tular di media sosial sehingga mendapat sambutan menggalakkan daripada warganet.
Menurut seorang pereka grafik yang menerima tempahan baju lukisan itu, pada awalnya beliau menyangka ia merupakan imej diambil daripada laman sesawang internet.
BACA LAGI: 'Bertuahnya Piya', ibu terharu anak dapat kasih sayang, perhatian penuh ayah kandung, bapa tiri
BACA LAGI: Anak autisme Fadhlina Sidek obses bendera dunia, kekal optimis walaupun didiagnos lewat
Namun, selepas mengetahui bahawa ia adalah hasil tangan seorang remaja autistik, beliau nyata kagum dengan bakat dimiliki individu berkenaan.
"Dapat order mula-mula ingat gambar kartun dari Google sebab nampak macam lukisan kartun dalam TV.
"Sekali rupanya lukisan anak autisme, terkejut sebab hebat dan cantik lukisan dia, saya siap cari dalam Google sebab nampak macam profesional.
"Akhirnya saya cuma tolong betulkan sedikit bahagian tulisan dan cropping supaya nampak kemas tanpa ubah hasil asal," kata azlanfadzlullah.
Menerima pujian dan mesej daripada orang ramai, ibu kepada remaja berkenaan menerusi perkongsian berasingan meluahkan rasa syukur atas galakan diterima.
"Anak saya dah 17 tahun, saya memang fikir macam mana nak bantu dia jana pendapatan dan boleh berdikari, sebab dia ada mood sendiri dan agak sukar bekerja dengan orang.
"Inshaa-ALLAH ada lagi lukisan yang dia nak print, nanti dah siap saya bagi," ujarnya.
Perkongsian itu mendapat pelbagai reaksi positif daripada warganet yang kagum dengan bakat dan usaha wanita terbabit dalam menyokong minat anaknya.
Ada yang mencadangkan agar lukisan itu dijadikan produk jenama tempatan bagi membantu remaja itu berdikari.
"Art work cantik, hasil printed pun cantik, cuba jadikan lokal brand baju dengan jenama dia sendiri, ‘The Snark’. Bayarlah sedikit royalti setiap kali terjual kan bagus," kata elizkhaliz.
Malah, tidak kurang juga individu berpendapat agar bakat remaja itu dikembangkan ke bidang penerbitan komik.
"Saya harap anak puan boleh hasilkan buku komik sendiri, adik saya disleksia pun suka baca komik sebab kurang teks dan lebih visual. Cuba jadikan macam komik Dog Man siapa tahu mungkin dia boleh jadi pelukis komik autisme pertama Malaysia," ujar ain_ka.
"Subhanallah, cantiknya! Berbakat betul adik tu, Alhamdulillah ramai yang dah tahu tentang art work cantik dia sekarang, baca komen pun ramai yang nak beli hasil karyanya," tambah nursyafiqahsahruna.
Perkara itu secara tidak langsung tidak hanya menyerlahkan bakat luar biasa individu autisme, tetapi juga membuktikan bahawa dengan sokongan dan peluang yang betul, golongan itu mampu berdikari serta berjaya dalam bidang diminati. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
