USIA bukan penghalang untuk mencapai kejayaan luar biasa.
Bagi Natalie Grabow, 80, pencapaian menamatkan Kejohanan Dunia Ironman di Kona, Hawaii baru-baru ini bukan sahaja mencipta sejarah dunia, malah menjadi bukti bahawa semangat dan disiplin mampu menewaskan batas usia.
Rakaman detik beliau melintasi garisan penamat kejohanan larian itu mencuri perhatian dan tular dengan hampir 12 juta tontonan di media sosial.
BACA LAGI: Anak autisme Fadhlina Sidek obses bendera dunia, kekal optimis walaupun didiagnos lewat
Menariknya, kejayaan itu bukanlah kali pertama dengan Natalie difahamkan sudah menyertai 16 perlumbaan Ironman, termasuk 11 kali di Kona, serta lebih 50 acara separuh Ironman (70.3 kilometer (km)) sejak mengenali dunia triatlon ketika berusia 60-an.
Tiada asas sukan
Dilahirkan pada 1945, Natalie membesar pada era di mana peluang wanita menceburi bidang sukan adalah sangat terhad.
"Dulu, kami hanya dibenarkan jadi penyokong, bukan atlet," katanya mengenang zaman sekolah.
Namun, sebaik anak-anaknya meningkat dewasa, Natalie mula aktif bersukan bermain tenis, berlari dan menyertai aktiviti kecergasan di gim.
"Saya mula berlari pada usia 43 tahun, masa rehat tengah hari di tempat kerja, dari situ saya mula sertai larian 5km dan 10km," katanya.
Belajar berenang usia 59 tahun
Perjalanan Natalie sebagai triatlet bermula agak luar biasa kerana pada mulanya difahamkan tidak tahu berenang.
Namun, pada usia 59 tahun, beliau tekad belajar berenang sendiri dengan hanya berpandukan buku dan latihan asas.
"Selepas sembilan bulan belajar, saya sertai triatlon pertama, ia tidak sempurna tetapi saya berjaya tamatkannya," katanya.
5 tip kekal cergas
1. Cari keseimbangan dalam latihan
Natalie menekankan kepentingan bimbingan jurulatih dan perancangan berstruktur yang kebiasaannya dimulakan setahun sebelum sesebuah kejohanan.
"Bila rehat, saya pulihkan badan, saya ikut arahan jurulatih saya 100 peratus," tambahnya.
2. Sedar had diri
"Bila makin tua, kita perlu bijak, tak boleh paksa diri," jelasnya yang cukup menekankan kepentingan memahami isyarat tubuh yang memerlukan rehat serta terapi.
3. Nikmati setiap aktiviti
Rahsia utama motivasinya adalah keseronokan.
"Saya suka senaman saya, tak perlu gajet canggih, tak perlu muzik rancak, saya hanya kayuh basikal dan nikmati setiap detik," katanya.
4. Latihan kekuatan
Selepas mengalami sakit otot tangan ketika pertandingan, Natalie mula menambah rutin latihan dalam jadual senamannya.
"Saya bekerjasama dengan jurulatih untuk menguatkan bahagian atas badan dan hasilnya sangat ketara," jelasnya.
5. Konsisten
Natalie percaya, konsistensi lebih penting daripada intensiti dan setiap langkah kecil dilakukan akan membawa perubahan besar.
"Jika tak suka berlari, jangan paksa, cuba berbasikal, yoga, golf atau kelas senaman ringan, bila anda suka, anda akan teruskan," ujarnya.
Kini, pada usia 80 tahun, Natalie masih aktif dan sudah mendaftar untuk dua lagi acara separuh Ironman tahun depan.
Baginya, usia hanyalah sekadar angka dan disiplin adalah rahsia sebenar kesihatan seseorang individu.
"Usia 80 bagaikan 60, selagi saya boleh bergerak, saya akan terus bersukan, ini cara saya menikmati hidup," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
