MISTERI kehilangan kanak-kanak perempuan, Bilqis, 4, akhirnya terungkai selepas Polis Makassar, Indonesia berjaya menemukan mangsa di wilayah Jambi pada Sabtu.
Penemuan itu sekali gus membawa kepada penahanan empat orang suspek didakwa terlibat dalam rangkaian pemerdagangan kanak-kanak di negara terbabit.
Keempat-empat suspek masing-masing dua wanita dan dua lelaki kemudiannya dihadapkan pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Makassar, Jalan Ahmad Yani.
BACA LAGI: Ayam 'cucuk' bukan punca anak ekzema, ketahui punca sebenar sistem badan si kecil terganggu
BACA LAGI: 'Sebiji macam jaga bayi', anak mandikan ibu strok bagai jenazah, rela jaga selagi ada kudrat
Kesemua yang ditahan dikenal pasti sebagai:
1. SY, 30, pekerja binaan dari Rappocini, Makassar
2. NH, 29, pembantu rumah dari Sukoharjo, Jawa Tengah
3. MA, 42, pembantu rumah dari Merangin, Jambi
4. AS, 36, pegawai kehormat dari Merangin, Jambi
Menurut Polis, SY merupakan pelaku utama yang menculik Bilqis dari Taman Pakui Sayang, Jalan AP Pettarani pada 2 November lalu, ketika bapa mangsa, Dwi Nurmas, sedang bermain tenis berhampiran lokasi kejadian.

Empat suspek terdiri dua lelaki dan dua perempuan ditahan atas dakwaan terpalit kes penculikan kanak-kanak di Indonesia.
Arahan tegas Ketua Polis Wilayah
Ketua Polis Wilayah Sulawesi Selatan, Inspektor Jeneral Pol Djuhandhani Rahardjo Puro berkata, usaha mencari Bilqis tidak pernah dihentikan sejak laporan diterima.
"Saya mengarahkan anggota supaya tidak kembali ke Makassar selagi pelaku dan mangsa belum ditemui," tegasnya.
Hasil siasatan awal mendapati SY membawa mangsa ke sebuah rumah tumpangan di Jalan Abu Bakar Lambogo, sebelum cuba menjualnya melalui akaun Facebook bernama Hiromani Rahim Bismillah.
Mangsa diperdagang di media sosial
Hantaran tersebut mencuri perhatian NH, yang kemudiannya dilaporkan terbang dari Jakarta ke Makassar untuk melakukan transaksi bernilai IDR 3 juta (RM747).
Tidak lama kemudian, NH membawa Bilqis ke Jambi dan menjualnya kepada pasangan AS dan MA dengan nilai IDR 15 juta (RM3,736) dengan alasan mahu membantu pasangan itu yang sudah sembilan tahun menanti cahaya mata.
"NH dalam masa sama turut mengaku pernah menjadi perantara pengambilan anak angkat secara haram sebanyak tiga kali.
"AS dan MA pula mengaku membeli Bilqis dengan harga IDR 30 juta (RM7,473) sebelum menjualnya semula kepada sebuah kumpulan etnik di Jambi pada harga IDR 80 juta (RM19,928)," kata Ketua Polis.
Beliau turut mengesahkan pasangan itu telah menjual seramai sembilan bayi serta seorang kanak-kanak menerusi aplikasi TikTok dan WhatsApp atas dasar pengambilan anak angkat.
Bilqis ditemui di Jambi
Selepas enam hari dilaporkan hilang, keberadaan Bilqis berjaya dikesan oleh pasukan khas Polis Makassar diketuai Ketua Siasatan Jenayah Polis Panakkukang, Inspektor Pertama Nasrullah bersama Ketua Sub Unit II Jatanras, Inspektor Pertama Supriyadi Gaffar.
Kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan selamat di sebuah kawasan komuniti Suku Anak Dalam, Jambi, pada petang Sabtu.
Detik penuh emosi menyelubungi IPD Makassar apabila Bilqis tiba dengan ibu bapanya tidak dapat menahan air mata sebaik melihat anak mereka kembali ke pangkuan keluarga. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
