IMBASAN ultrasound kini menjadi antara prosedur paling penting bagi memantau perkembangan dan kesihatan bayi dalam kandungan.
Selain berfungsi mengesan pertumbuhan, kedudukan serta sebarang kelainan awal, teknologi imbasan kini semakin maju termasuk penggunaan ultrasound 5D yang memberikan visual lebih jelas dan realistik kepada ibu bapa.
Namun, tidak semua sesi 5D berjalan lancar ada kalanya wajah bayi 'hilang' atau terhalang hingga mengecewakan ibu hamil yang teruja menantikan paparan imej pertama anak mereka.
BACA LAGI: Anak autisme Fadhlina Sidek obses bendera dunia, kekal optimis walaupun didiagnos lewat
Cakna tentang isu berbangkit, pakar radiologi dan sonographer, Dr. Farah tampil menyenaraikan beberapa tip dan perkara ibu hamil perlu lakukan
sebelum membuat imbasan.
1. Pilih waktu terbaik
Fahaman masyarakat lazimnya menganggap lagi lewat usia kandungan maka lebih jelas paparan wajah bayi akan kelihatan.
Namun, tanggapan itu sebenarnya kurang tepat kerana masa paling sesuai ialah antara 26 hingga 32 minggu.
"Pada tempoh ini, bayi sudah cukup besar tetapi masih ada ruang untuk bergerak dan menunjukkan muka dengan jelas.
"Selepas 32 minggu, ruang rahim menjadi lebih sempit dan mudah menyebabkan bayi menutup wajah dengan tangan atau plasenta," katanya di laman Threads.
2. Tubuh cukup hidrasi
Kejelasan imej ultrasound banyak bergantung pada jumlah air ketuban.
Katanya, ibu hamil digalakkan untuk mula minum air kosong dengan cukup sekurang-kurangnya tiga hari sebelum menjalani imbasan.
"Mulakan minum air kosong secukupnya sekurang-kurangnya tiga hari sebelum tarikh scan, bukan pagi scan sahaja.
"Air ketuban yang mencukupi membantu gelombang ultrasound menembusi dengan lebih baik," ujarnya.
3. Bantu bayi lebih aktif
Antara punca gambar kurang jelas ialah bayi sedang tidur dan untuk mengelakkan bayi terlalu pasif, Dr. Farah mencadangkan pengambilan sedikit hidangan pemanis mulut.
"Ambil jus oren atau coklat 15 hingga 30 minit sebelum scan, ia boleh buat bayi lebih aktif tanpa menjejaskan keselamatan," tambahnya.
Ultrasound 5D bantu pantau kesihatan bayi
Berdasarkan laporan Baby in Sight, imbasan ultrasound 5D bukan sahaja menawarkan visual yang lebih jelas, tetapi juga berpotensi membantu pengesanan awal beberapa keabnormalan pada bayi.
1. Pengesanan struktur muka
Imej resolusi tinggi boleh membantu doktor memantau tanda awal keadaan seperti sumbing bibir atau lelangit, sekali gus memberi masa kepada ibu bapa untuk membuat persediaan.
2. Penentuan jantina
Ultrasound 5D memberikan gambaran alat kelamin yang lebih terperinci, membantu ibu bapa membuat persiapan awal.
3. Ikatan emosi ibu bapa–bayi
Imbasan 5D memberikan akses ke dalam rahim dengan paparan:
- Ekspresi muka bayi menguap, tersenyum dan mencebik
- Pergerakan seperti menghisap jari
- Bentuk hidung, bibir dan telinga
- Pertumbuhan rambut
- Kedudukan tangan dan kaki
Malah, ibu bapa boleh melihat keperibadian awal bayi melalui tingkah laku kecil yang dirakam imej 5D.
Walaupun imbasan 5D popular sebagai kenangan ketika hamil, ia turut memberi manfaat tambahan dalam memahami kedudukan serta perkembangan bayi.
Dengan persediaan rapi seperti hidrasi, pemilihan waktu yang tepat dan memastikan bayi aktif, ibu hamil boleh menikmati pengalaman imbasan yang lebih jelas dan bermakna. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
