"DUNIA di mata anak autisme. Optimis, itu sahaja pesan saya kepada diri sendiri".
Demikian ungkapan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bila mana anak kelimanya, Anwar didiagnosis mild autisme yang nyata memiliki ciri berkeperluan khas berbanding kanak-kanak normal.
Menerusi hantaran penuh emosi dimuat naik di laman Facebook, Fadhlina mengakui dirinya sebelum ini melalui tempoh penafian yang lama sebelum menerima keadaan anaknya.
BACA LAGI: 'Sebiji macam jaga bayi', anak mandikan ibu strok bagai jenazah, rela jaga selagi ada kudrat
Namun, sebaik memahami spektrum autisme anaknya, beliau tekad untuk kekal optimis dan memberi segala peluang yang diperlukan bagi membolehkannya berkembang mengikut keupayaan diri.
"Alhamdulillah, biarpun lewat didiagnosis, saya reda dan terus mengatur perjalanan anak ini dengan cukup optimis.
"Sedaya upaya peluang diberikan agar dia tidak terasa jauh atau tersinggung kerana keadaan dirinya," katanya.

Fadhlina Sidek kini bahagia di samping suami dan lima anaknya selepas pernah kehilangan anak kira-kira 14 tahun lalu.
Obses bendera dunia
Antara keistimewaan Anwar yang dikongsikan ialah obsesinya terhadap bendera negara seluruh dunia, selain minat mendalam terhadap filem arahan arwah Mamat Khalid.
Spektrum autisme dimiliki menjadikan anaknya teliti dalam hal yang memerlukan perincian daripada menyusun pensil warna mengikut tona sehingga ke cara intepretasi terhadap babak filem dengan fokus yang luar biasa.
"Setiap kali saya menyusun bendera negara dengan Anwar, kami akan ketawa dan saling menguji kekuatan ingatan masing-masing.
"Kadangkala saya buat-buat silap untuk melihat reaksinya.
"Jauh di sudut hati mummy, adakalanya mummy rawan, jika mummy sudah tiada di dunia ini, bagaimana Anwar agaknya, siapa yang akan menjaga anak mummy ini," ujarnya.
Walaupun begitu, beliau kembali optimis apabila melihat perkembangan anaknya di bawah penjagaan guru-guru pendidikan khas dan ekosistem pendidikan inklusif yang semakin terbina.
Intervensi awal bawa perubahan positif
Menurut Fadhlina, keadaan Anwar menunjukkan peningkatan ketara selepas menjalani intervensi bersama guru pendidikan khas.
Beliau dalam masa sama turut menekankan bahawa sokongan keluarga perlu fokus pada kelebihan anak, bukan kekurangannya.
Tegas memperjuangkan hak Murid Berkeperluan Khas (MBK) sebagai agenda nasional, perkara itu sentiasa diberi penekanan oleh Kementerian Pendidikan yang merangkumi beberapa insisiatif seperti:
- Saringan awal prasekolah
- Intervensi menyeluruh di semua peringkat
- Latihan intensif guru pendidikan khas
- Penyediaan infrastruktur lebih baik
Namun, beliau mengakui masih banyak yang perlu diperkukuhkan dalam dasar serta kesedaran masyarakat terhadap isu autisme.
Di akhir perkongsian, Ahli Parlimen Nibong Tebal itu turut menitip sokongan buat semua ibu bapa yang memiliki anak dalam spektrum autisme.
"Saya sentiasa ada untuk ibu-ibu semua, kita saling berkongsi dan menguatkan, dunia harus melihat anak autisme dengan penuh optimis dan kasih sebenua alam," ujarnya.
Hantaran itu nyata menerima pelbagai reaksi positif dan pujian warga maya yang menghargai keterbukaan seorang menteri berkongsi kisah keluarga demi kesedaran masyarakat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
