
PENYANYI dan ikon global Rihanna bergelar bilionair dengan nilai kekayaan dianggarkan AS$1.4 bilion atau RM6.7 billion, namun hanya lima peratus jumlah itu datang daripada dunia muzik.
Selebihnya? Hasil daripada empayar perniagaan yang dibinanya sendiri, menjadikan beliau antara selebriti paling berjaya dalam dunia keusahawanan moden.
Walaupun wanita berusia 37 tahun itu meraih jutaan dolar melalui jualan album, konsert dan kolaboratif bersama artis terkenal lain, muzik hanyalah 'pintu depan' pada kejayaan sebenar beliau.
BACA LAGI: Kreativiti 2 wanita muda diiktiraf, cipta alat insulin saiz poket, kit ujian kendiri kanser serviks
Sumber kekayaan utamanya datang daripada tiga cabang bisnes utama iaitu Fenty Beauty, Savage X Fenty dan Fenty Skin.
1) Fenty Beauty
Dilancarkan pada 2017, Fenty Beauty mencetuskan revolusi dalam industri kosmetik apabila memperkenalkan 40 tona asas (foundation shades), jauh lebih banyak berbanding standard industri ketika itu yang hanya menawarkan 20 hingga 30 tona.
Strategi itu membuahkan hasil luar biasa, dengan jualan mencecah AS$100 juta (RM460 juta) direkodkan hanya dalam tempoh 40 hari pertama pelancaran.
Lebih menarik, stok tona kulit gelap habis terjual hampir serta-merta, membuktikan bagaimana Rihanna berjaya mengisi kekosongan pasaran yang selama ini diabaikan.
Hari ini, jenama itu dinilai sekitar AS$2.8 bilion (RM12.9 bilion).
Fenty Beauty mencetuskan revolusi dalam industri kosmetik apabila memperkenalkan 40 tona asas. — Agensi
2) Savage X Fenty
Seterusnya, Rihanna memperluas empayarnya melalui Savage X Fenty, jenama pakaian dalam yang meraikan inklusiviti, saiz pelbagai dan pemasaran positif tubuh.
Tidak seperti pesaing tradisional seperti Victoria’s Secret, Savage X Fenty menampilkan model sebenar daripada pelbagai bentuk badan, warna kulit dan latar belakang.
Langkah berani itu membuahkan hasil apabila jenama tersebut kini bernilai kira-kira AS$1 bilion (RM4.6 bilion) dan terus berkembang pesat di seluruh dunia.
3) Fenty Skin
Melengkapi empayarnya ialah Fenty Skin, barisan produk penjagaan kulit bersifat neutral jantina, lestari dan bebas bahan kimia berbahaya.
Dalam masa hanya empat bulan pertama, Fenty Skin mencatat jualan melebihi AS$30 juta (RM138 juta).
Sekali lagi, Rihanna membuktikan beliau bukan sekadar mengikuti trend, sebaliknya beliau yang mencipta trend.
Muzik menjadikan Rihanna terkenal, tetapi perniagaan menjadikannya kaya. — Agensi
Rahsia kejayaan
Kejayaan luar biasa itu bukan kebetulan. Rihanna membina empayarnya berdasarkan tiga prinsip utama yang menjadi inspirasi kepada ramai pengasas perniagaan di seluruh dunia:
1) Kenali audiens
Rihanna tidak melancarkan satu lagi jenama kosmetik selebriti, beliau mencipta penyelesaian bagi masalah sebenar dihadapi pengguna, khususnya wanita berkulit gelap yang diabaikan industri.
2) Jadikan nilai sebagai visi
Slogan 'Beauty for All' bukan sekadar kata-kata manis, tetapi falsafah diterapkan dalam setiap aspek, daripada pembungkusan hingga model yang diketengahkan.
3) Gunakan jenama peribadi sebagai kuasa
Rihanna bukan sekadar selebriti, tetapi simbol kepercayaan dan keaslian.
Muzik menjadikannya terkenal, tetapi perniagaan menjadikannya kaya.
Beliau menggunakan kemasyhuran bukan sebagai garisan penamat, tetapi sebagai bahan bakar untuk membina legasi. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram