SEORANG wanita meluahkan rasa terkilan selepas dikritik hanya kerana tidak menetapkan jumlah hantaran perkahwinan.
Insiden itu dikongsikan menerusi satu hantaran video di Threads dengan nama akaun shazzaqie pada Sabtu.
Menerusi video berdurasi 45 saat itu, wanita berkenaan mempersoalkan tanggapan seorang individu yang memandang rendah terhadap keluarga yang tidak meletakkan bayaran hantaran semasa perkahwinan.
BACA LAGI: Hantaran eksklusif berjiwa seni, gubahan inspirasi kisah cinta, impian pasangan raja sehari
“Kau rasa orang yang tak minta duit hantaran ini bodoh ke? Tadi masa aku solat kat surau, aku borak-borak dengan seorang mak cik.
"Lepas itu dia tanya aku, kalau perempuan Terengganu selalunya minta hantaran berapa?” katanya menceritakan semula kejadian tersebut kepada rakannya.
Menurut wanita itu, beliau menjelaskan kepada individu berkenaan bahawa keluarganya tidak menetapkan hantaran kerana ibunya berpesan agar tidak membebankan pihak lelaki.
Wanita itu bagaimanapun berkongsi rasa terkilan apabila keputusan keluarganya untuk memudahkan urusan perkahwinan disalah tafsir sebagai kebodohan.
“Dia kata, ‘itu bukan tak nak bebankan pihak lelaki, itu mak kau bodoh namanya, bebal.’ Aku terus macam (terkejut).
"Lepas itu dia (mak cik) kata, paling-paling kat Johor ini RM10,000 (duit hantaran). Takkanlah kau tak ada.
"Sedih gila bila dia cakap mak aku bodoh, bebal. Salah ke aku tak minta hantaran?" soalnya lagi.
Perkongsian itu menarik perhatian pengguna media sosial yang menganggap keputusan tidak menetapkan hantaran bukanlah tanda kelemahan, tetapi satu bentuk keikhlasan dan kesederhanaan dalam membina rumah tangga.
Jelas msabmk85n9, dalam Islam tidak wujud istilah hantaran, sebaliknya yang dituntut ialah mahar, iaitu pemberian wajib daripada pihak lelaki mengikut syarak.
"Kenduri belah perempuan ditanggung penuh oleh keluarga perempuan itu sendiri.
"Tak malu, nak buat kenduri tapi mengharapkn duit daripada pihak lain pula," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
