RAMAI ibu bapa hari ini lebih berhati-hati memilih sumber protein terbaik untuk anak, terutama bagi mereka yang menghadapi masalah kulit sensitif seperti ekzema.
Namun, di sebalik keprihatinan itu, timbul persoalan dan kekeliruan berhubung dakwaan ayam yang 'dicucuk' atau disuntik hormon menjadi punca kepada masalah tersebut.
Pakar dietitian dan nutrisi kanak-kanak, Aliah menjelaskan bahawa tanggapan itu tidak berasas kerana suntikan pada ayam bukanlah hormon seperti yang sering disalah anggap.
Sebaliknya, ia merupakan sejenis vaksin bagi mencegah penyakit dalam ladang ternakan.
BACA LAGI: 'Sebiji macam jaga bayi', anak mandikan ibu strok bagai jenazah, rela jaga selagi ada kudrat
Suntikan ayam bukan hormon
Malaysia mengharamkan penggunaan hormon dalam penternakan ayam sejak sekian lama dan antara faktor ayam membesar dengan cepat dikatakan berpunca daripada:
- Baka moden dengan genetik tumbesaran pantas
- Makanan ternakan padat nutrisi
- Kawalan persekitaran seperti suhu serta cahaya dalam reban
Malah, menurutnya sistem penternakan moden menjadikan proses pembesaran lebih efisien tanpa memerlukan hormon tambahan.
Jenis ayam di pasaran
Beberapa jenis ayam yang biasa ditemui di pasaran lazimnya tersedia mengikut kaedah pemeliharaannya:
- Ayam biasa: Dibela dalam reban tertutup, tumbesaran cepat kerana diet optimum dan baka khas.
- Ayam kampung: Membesar secara semula jadi, lebih kecil dan dagingnya sedikit liat.
- Ayam organik: Tidak menggunakan antibiotik, diberi makanan non-GMO dan lebih bersih, namun ia dijual dengan harga mahal di pasaran.
Penggunaan antibiotik
Antibiotik digunakan di ladang untuk mencegah atau merawat penyakit seperti jangkitan usus atau selesema ayam.
Namun, setiap pemberian antibiotik diwajibkan melalui tempoh rehat (withdrawal period) sebelum penyembelihan bagi memastikan tiada sisa baki ubat kekal dalam daging.
Ketidakpatuhan ladang terhadap peraturan boleh membawa risiko seperti:
- Sisa antibiotik dalam daging
- Gangguan flora usus
- Bakteria kebal antibiotik (AMR)
- Reaksi alergi kepada individu sensitif

Hidangan ayam bukan faktor utama kanak-kanak mengalami kesan ekzema. — Gambar hiasan/Janaan AI
Pilih sumber ayam sah
Bagi memastikan keselamatan pengguna, ibu bapa disarankan membeli ayam daripada sumber berdaftar seperti pengeluar dengan kelulusan:
- VHM
- MESTI
- Halal
Tegasnya, ayam bukan punca ekzema, sebaliknya bahan risiko bagi kanak-kanak sensitif lebih berkait dengan kualiti sumber ayam dan bahan tambahan dalam makanan seperti:
- Perasa tiruan
- Pewarna
- Pengawet
- Bahan kimia dalam makanan proses
Semua bahan itu berpotensi mengganggu sistem imun dan usus, sekali gus mencetuskan kesan ekzema pada kanak-kanak dan bayi seawal usia enam bulan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
