WALAUPUN sering diketepikan daripada diet moden, ikan-ikan kecil sebenarnya menyimpan khasiat besar khususnya buat ibu hamil, menyusu dan kanak-kanak.
Kajian serta pemerhatian pakar menunjukkan bahawa pengambilan ikan kecil bersama sayur-sayuran tempatan dan buah-buahan asli mampu membantu mengurangkan kadar kekurangan zat makanan di kawasan luar bandar.
Menurut laporan kesihatan terkini, kadar kekurangan zat makanan semakin berkurangan dalam kalangan wanita hamil, ibu menyusu dan kanak-kanak di kawasan pedalaman kesan daripada peningkatan penggunaan sumber yang kaya dengan mikronutrien seperti ikan kecil, dan sayur-sayuran.
BACA LAGI: 'Ini tentang hak wanita', Miss Universe Mexico diarah keluar, peserta lain tunjuk solidariti
Pakar kesihatan menjelaskan, kekurangan zat makanan masih menjadi antara punca utama kepada masalah kesihatan serius seperti kebutaan kekal, kematian ibu, neonatal dan kanak-kanak.
Bekas Pengetua Kolej Perubatan Rangpur, Profesor Dr. Md Shariful Islam berkata, pengambilan ikan kecil seperti Mola, Darkina dan Dhela secara tetap memberi kesan besar terhadap tahap imuniti serta perkembangan bayi dan kanak-kanak.

Hidangan ikan kecil difahamkan memiliki nutrien lengkap buat golongan ibu hamil dan menyusu. — Gambar hiasan/Janaan AI
"Ikan kecil, sayur-sayuran dan buah-buahan asli mengandungi mineral serta vitamin penting seperti zat besi dan asid folik yang membantu pertumbuhan otak sihat, menguatkan sistem imun dan menyokong perkembangan minda kanak-kanak,” katanya.
Tambahnya, masyarakat sering memandang remeh nilai pemakanan ikan seperti ini kerana saiznya yang kecil, sedangkan ia kaya dengan mikronutrien yang penting untuk kesihatan menyeluruh.
“Pengambilan ikan kecil secara konsisten bukan sahaja memenuhi keperluan nutrisi, tetapi turut mengurangkan kadar kematian ibu dan kanak-kanak serta membantu menghapuskan masalah buta kekal akibat kekurangan vitamin," tambahnya.
Sementara itu, Pegawai Perikanan Daerah Rangpur, Mohammad Habibur Rahman Talukder, memaklumkan bahawa pengeluaran ikan kecil semakin meningkat di kawasan seperti kolam, terusan, tanah lembap dan sawah walaupun sumber air semakin berkurangan di wilayah utara.
"Masyarakat luar bandar kini lebih banyak memakan ikan kecil yang kaya dengan mikronutrien dan langkah ini terbukti membantu mengatasi masalah kekurangan zat makanan," ujarnya.
Peningkatan kesedaran terhadap kepentingan makanan tempatan bukan sahaja memperkukuh kesihatan masyarakat luar bandar, malah turut membuka peluang ekonomi baharu kepada penternak dan pengusaha perikanan kecil.
Antara ikan kecil tinggi nutrisi mudah didapati termasuklah:
1. Ikan bilis
2. Ikan sepat
3. Ikan tamban
4. Ikan haruan
Dengan sumber yang mudah diperoleh dan berkhasiat tinggi, ikan bersaiz kecil wajar dianggap sebagai makanan utama dalam menjaga kesejahteraan ibu dan anak. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
