'Kami saling mencintai', bergelar suami isteri selama 83 tahun, diiktiraf perkahwinan tertua dunia


  • Cinta
  • Isnin, 10 Nov 2025

Lyle Gittens dan isterinya memegang rekod perkahwinan tertua di dunia berusia 83 tahun. — Agensi

DALAM sesebuah rumah tangga, pasangan suami isteri tidak boleh lari daripada ujian dan cabaran hidup yang acap kali meninggalkan tekanan pada individu.

Namun, pasangan dari Miami, Amerika Syarikat (AS) ini membuktikan bahawa kasih sayang dan komitmen tulus mampu bertahan melewati dekad dan perubahan zaman.

Eleanor Gittens, 107, dan suaminya Lyle Gittens, 108, baru-baru ini diiktiraf sebagai pasangan paling lama berkahwin di dunia, dengan usia perkahwinan mencecah 83 tahun. 

BACA LAGI: 'Ajaib' susu ibu, jantung kembali degup lepas 10 minit terhenti, kini cipta rekod gadis 'cerebral palsy' pertama sertai Duathlon

BACA LAGI: 'Sebiji macam jaga bayi', anak mandikan ibu strok bagai jenazah, rela jaga selagi ada kudrat

Pengiktirafan itu dibuat oleh LongeviQuest, sebuah platform global yang menjejak individu berusia lebih 100 tahun dari serata dunia.

Ditanya tentang rahsia kebahagiaan rumah tangga, Eleanor memberikan jawapan ringkas yang cukup memberi kesan kepada orang ramai.

"Kami saling menyayangi, saya sayang suami saya," katanya.

Lyle Gittens dan isterinya kekal menyayangi satu sama lain walaupun usia perkahwinan sudah memasuki 83 tahun. — Agensi

 

Pengiktirafan itu dibuat selepas LongeviQuest meneliti sijil perkahwinan bertarikh 1942, rekod banci AS serta arkib sejarah lain bagi mengesahkan tempoh perkahwinan mereka.

Pasangan itu mengambil alih gelaran tersebut selepas kematian Manoel Angelim Dino dari Brazil pada Oktober lalu. 

Dino dan isterinya sebelum ini memegang rekod dengan tempoh perkahwinan berusia 85 tahun.

Selain rekod perkahwinan terlama, Eleanor dan Lyle kini turut menjadi pasangan tertua di dunia, dengan jumlah usia mereka mencecah lebih 216 tahun.

Jodoh tidak dijangka

Kisah cinta pasangan itu berputik pada 1941 bila mana Lyle ketika itu merupakan pemain bola keranjang manakala Eleanor pula hadir sebagai penonton. 

Eleanor tidak lagi mengingati pasukan mana yang menang, tetapi yang pasti hari itu dia bertemu lelaki yang akan menjadi suaminya selama lebih lapan dekad.

Lyle kemudiannya diangkat ke Clark Atlanta Men’s Basketball Hall of Fame kerana pencapaiannya dalam sukan tersebut.

Berkahwin ketika Perang Dunia Kedua

Menyedari bahawa Lyle berkemungkinan besar akan dihantar menyertai Perang Dunia Kedua, pasangan itu tetap membuat keputusan bergelar suami isteri.

Mereka berkahwin pada 4 Jun 1942, selepas Lyle diberi pas khas tiga hari dari latihan ketenteraan.

Tidak lama kemudian, Lyle dihantar bertugas ke Itali bersama Divisyen Infantri Ke-92 Tentera AS dan ketika itu Eleanor difahamkan sedang hamil anak pertama mereka.

Kehidupan selepas perang

Selepas perang tamat, pasangan itu memulakan kehidupan baharu di New York dan bekerja dalam sektor kerajaan sambil membesarkan tiga cahaya matanya.

Eleanor yang berjiwa pendidikan, meneruskan pengajian hingga memperoleh ijazah kedoktoran (EdD) dari Universiti Fordham pada usia 69 tahun.

Walaupun usia semakin lanjut, hubungan mereka kekal seperti zaman muda dan Lyle mengakui dia cukup bahagia berada di samping isterinya.

“Saya gembira berada di sini, kami menikmati masa bersama dan telah melakukan banyak perkara bersama," ujarnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram