PERKAHWINAN bukan sekadar penyatuan dua insan, tetapi permulaan kepada perjalanan hidup yang lebih matang, stabil dan penuh makna.
Ramai lelaki mengakui bahawa alam rumah tangga menjadikan mereka lebih bertanggungjawab dan berdisiplin dalam menguruskan kewangan.
Walaupun ada komitmen baharu yang perlu diuruskan, kebanyakannya hanyalah proses biasa yang mendewasakan dan membuka pintu rezeki lebih luas.
BACA LAGI: 'Kami saling mencintai', bergelar suami isteri selama 83 tahun, diiktiraf perkahwinan tertua dunia
Namun, persediaan awal perlu dilakukan usai empunya badan sudah terlintas mendirikan rumah tangga dengan simpanan wang menjadi nadi utama dalam konteks perkahwinan.
Paling ketara, golongan lelaki khususnya perlu cakna akan tiga tabung simpanan yang akan 'pecah' sebaik diijab kabul bersama pasangan.

Golongan lelaki perlu bersedia dengan tiga simpanan tabung sebelum mendirikan rumah tangga. — Gambar hiasan/Janaan AI
1. Tabung kahwin
Tabung pertama dan paling besar ialah persiapan di hari bahagia pasangan pengantin iaitu majlis perkahwinan.
Majlis itu bukan hanya tentang akad nikah dan kenduri, tetapi meliputi pelbagai keperluan seperti wang hantaran, pelamin, pakaian, jurufoto, tempahan makan dan doorgift.
Inilah sebabnya ramai lelaki mula merancang dari awal menyenaraikan bajet, membahagikan kos bulanan dan mencari peluang kerja sampingan untuk menambah simpanan.
Apabila perancangan dibuat dengan teliti, segala persiapan terasa lebih ringan dan hari bahagia dapat diraikan tanpa tekanan.
2. Tabung rumah dan kereta
Selepas berkahwin, menyediakan tempat tinggal yang selesa menjadi tanggungjawab utama sang suami.
Isteri secara dasarnya memerlukan ruang privasi dan suasana selesa untuk membina kehidupan baharu bersama yang secara tidak langsung menjadi hak nafkah mereka.
Selain kos sewa atau deposit rumah, barangan asas seperti perabot, kelengkapan dapur, peti ais dan tilam juga perlu diambil kira.
Kereta pula menjadi keperluan apabila keluarga mula berkembang dan ia bukan lagi soal kemewahan tetapi berkait rapat keselamatan dan kemudahan terutama ketika isteri mengandung.
Cara terbaik ialah membeli barangan rumah sedikit demi sedikit sejak bujang dan apabila tiba masa berpindah, separuh daripada kelengkapan sudah tersedia dengan beban kewangan jauh lebih ringan.
3. Tabung bayi
Tabung ketiga ini sering disalah anggap sebagai kecil, namun sebenarnya antara yang paling penting dalam kehidupan berumah tangga.
Persediaan sebelum dan selepas kelahiran melibatkan pelbagai keperluan dari makanan berkhasiat untuk isteri, suplemen hingga ke kos barangan bayi seperti lampin, susu serta pakaian asas.
Tidak dinafikan, bebanan kewangan akan mula dirasai si bapa namun, ia secara tidak langsung akan mendidik individu untuk menjadi suami bertanggungjawab.
Pengorbanan mulia
Apabila ketiga-tiga tabung ini 'pecah' serentak, ia mungkin kelihatan mencabar, tetapi itu merupakan fasa yang membentuk seorang lelaki lebih kuat dan matang.
Dengan perancangan, kesungguhan serta niat membahagiakan keluarga, rezeki selalunya datang dari arah yang tidak disangka-sangka.
Malah, setiap wang ringgit yang dibelanjakan untuk isteri dan anak bukanlah beban, tetapi satu bentuk pengorbanan mulia yang akhirnya mengundang kehidupan berkeluarga dengan penuh keberkatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
