'Setiap kanak-kanak ditemani 2 guru', ibu 2 anak OKU kongsi SOP kelas renang di Norway


  • Bonda
  • Ahad, 09 Nov 2025

Prosedur dan SOP keselamatan kelas renang bagi murid berkeperluan khas di Norway sentiasa mengutamakan keselamatan di tahap optimum. —  Gambar hiasan/Janaan AI

TRAGEDI kematian seorang murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) berusia 11 tahun yang dikatakan lemas ketika mengikuti aktiviti renang pada Sabtu mencetuskan perdebatan hangat di laman sosial.

Kejadian yang berlaku di Kolam Renang Kompleks Sukan Desa Tasik, Sungai Besi, Kuala Lumpur itu menyentak hati ramai, terutama golongan ibu bapa yang mempunyai anak berkeperluan khas. 

Menurut laporan awal, mangsa dipercayai tergelincir atau tenggelam dalam tempoh sangat singkat ketika murid lain sedang menjalankan aktiviti. 

BACA LAGI: Nahas ambil susu anak: Isteri sifatkan suami '1 dalam sejuta', dah tempah hotel dan 3 ekor kambing aqiqah

BACA LAGI: 'Ini tentang hak wanita', Miss Universe Mexico diarah keluar, peserta lain tunjuk solidariti

Lifeguard dan guru bertindak sebaik sedar kejadian itu, namun keadaan sudah kritikal sebelum kanak-kanak itu akhirnya disahkan meninggal dunia dua hari kemudian selepas menerima rawatan.

Insiden tersebut mencetuskan perbincangan mengenai tahap keselamatan program air melibatkan murid berkeperluan khas, termasuk SOP, nisbah pengiring serta kecekapan pemantauan.

SOP renang di Norway

Seorang ibu warganegara Malaysia yang menetap di Norway, Azira Aziz tampil menjelaskan mengenai prosedur operasi standard (SOP) aktiviti air dijalankan di negara itu, khususnya bagi murid berkeperluan khas.

Melahirkan dua anak istimewa, Nur Fazera Akmal (autisme) dan Nur Firzanah Akmal mengalami kecacatan fizikal mendorong beliau tampil bersuara soal keselamatan kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU) melibatkan aktiviti renang.

Perkongsiannya tular kerana menggambarkan perbezaan ketara dari segi pengawasan dan SOP keselamatan:

1. Setiap murid diiringi dua guru tetap

Biasanya terdiri daripada barnehageassistent (pembantu tadika), spesialpedagog (guru OKU) atau miljoarbeider (pakar sokongan sosial) yang memang mengenali rapat anak.

2. Persediaan visual

Anak diperkenalkan kepada gambar kolam, rutin langkah demi langkah seperti tukar baju, pemakaian pelampung dan persediaan emosi.

3. Guru temani murid 

Walaupun aktiviti dijalankan di kawasan kolam air cetek, setiap kanak-kanak tidak akan dibiarkan sendirian dan sentiasa ditemani guru pengiring ketika dalam air.

4. Aktiviti fokus keyakinan

Berbeza dengan pendekatan kelas renang biasa, murid OKU di Norway akan ditekankan tentang peningkatan tahap keyakinan berbanding skil berenang semata-mata.

Aktiviti seperti bermain gelembung, tepuk air, guna pelampung dan terapung semuanya bertujuan membina hubungan positif dengan air.

5. Kolam khas untuk murid OKU

Sebuah kawasan khas akan diwujudkan bagi mengelakkan persekitaran terlalu bising atau sesak sehingga menyebabkan murid berkeperluan khas berasa terganggu emosinya. 

6. Rekod keselamatan ketat

Jumlah anak, pelampung, guru dan keadaan air direkod sebelum setiap sesi dimulakan bagi memastikan persekitaran yang selamat.

7. Petugas kesihatan 

Terutamanya bagi murid dengan masalah sensori atau anxiety, petugas kesihatan dan jururawat sekolah akan sentiasa berjaga di kawasan kolam jika berlaku insiden kecemasan.

Australia

Sementara itu, aktiviti renang untuk kanak-kanak berkeperluan khas di Australia turut mengamalkan SOP yang ketat sama seperti dilaksanakan di Norway.

Menurut laporan Austswim, setiap murid autisme atau keperluan khas lain diiringi seorang atau dua guru tetap yang mengenali rapat anak tersebut sepanjang sesi bagi memastikan tiada seorang pun murid dibiarkan berenang sendirian.

Tambahan itu, guru renang juga memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan dengan mengamalkan strategi pengajaran yang dinamik, memerhati serta menyesuaikan aktiviti mengikut keperluan setiap murid, termasuk individu autisme atau yang mengalami masalah sensori. 

Berdasarkan dokumen AUSTSWIM, Swimming and Water Safety Program Guidelines, SOP sedemikian diwujudkan untuk memastikan keselamatan maksimum dan memberi pengalaman positif kepada murid berkeperluan khas.

Sama seperti SOP di Norway, langkah-langkah keselamatan ini membolehkan ibu bapa lebih yakin bahawa anak-anak mereka dapat menjalani aktiviti air tanpa risiko yang tinggi, sambil membina keyakinan diri dan kemahiran sosial secara selamat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram