[VIDEO] Bau durian disangka gas bocor, suami isteri menetap di Paris terkejut jiran lapor bomba


  • Maya
  • Isnin, 10 Nov 2025

Sepasang suami isteri didatangi anggota bomba ketika sedang menikmati juadah pulut durian di Paris.

DURIAN sememangnya kegemaran rakyat Malaysia yang sinonim dengan gelaran 'raja buah' bagi penduduk di rantau Asia Tenggara.

Aromanya yang kuat dianggap 'harum' bagi pencinta tegar, namun di negara lain, baunya sering disalah tafsir sebagai sesuatu yang mencurigakan. 

Itulah yang berlaku kepada pasangan suami isteri  menetap di Paris ini apabila keenakan pulut durian dinikmati, bertukar menjadi insiden kecemasan tidak diduga.

BACA LAGI: 'Kami saling mencintai', bergelar suami isteri selama 83 tahun, diiktiraf perkahwinan tertua dunia

BACA LAGI: 'Ajaib' susu ibu, jantung kembali degup lepas 10 minit terhenti, kini cipta rekod gadis 'cerebral palsy' pertama sertai Duathlon

Sedang pasangan itu menikmati hidangan tradisi tersebut, mereka secara tiba-tiba didatangi sepasukan anggota bomba penyelamat yang mendakwa menerima laporan kebocoran gas di kediaman pangsapuri tersebut. 

Bau kuat yang menyelubungi kawasan itu difahamkan dilaporkan oleh jiran tingkat atas, sekali gus mencetuskan siasatan pihak bomba ketika kejadian.

Menerusi perkongsian dimuat naik akaun FroyJall di TikTok, pasukan bomba melakukan pemeriksaan rapi namun tidak menemui sebarang punca kebocoran.

"Bomba cari tak jumpa, kemudian dia panggil syarikat gas yang salur gas kat bangunan tu datang, periksa pakai meter gas, meter gas kosong, kitorang buat tak tahu jelah," katanya.

Jelasnya, buah tersebut dibeli dari sebuah premis di China town, Paris, antara lokasi yang masih menjual buah-buahan Asia termasuk durian.

Bagaimanapun, sekiranya bau tersebut disahkan berpunca daripada durian, ia boleh dianggap mengganggu ketenteraman penghuni dan berpotensi dikenakan tindakan.

"Kalau didapati berpunca dari durian akan jadi satu kesalahan sebab mengganggu keselesaan penghuni dan boleh kena saman sebab bau busuk.

"Memang baguslah orang Paris, bau benda luar biasa terus buat laporan, rasa bersalah betul diri ni," tambahnya di ruangan komen.

Insiden itu bukan sahaja mengundang senyuman, tetapi turut mengingatkan bahawa selera dan budaya makanan setiap negara cukup berbeza.

Malah, ia juga boleh menimbulkan kekeliruan di negara barat yang mungkin agak asing dan janggal dengan durian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram