'Ajaib' susu ibu, jantung kembali degup lepas 10 minit terhenti, kini cipta rekod gadis 'cerebral palsy' pertama sertai Duathlon


  • Bonda
  • Isnin, 10 Nov 2025

Wira Sudepja menggunakan sejenis basikal khas untuk membawa anaknya menyertai acara larian.

KEAJAIBAN dan kasih sayang ibu terbukti apabila Nur Wadihan, gadis berusia 17 tahun yang dilahirkan dengan kondisi cerebral palsy, kembali bernyawa selepas jantungnya terhenti ketika bayi. 

Menurut bapanya, Wira Sudepja Rabu, pengalaman melihat anaknya kembali bernyawa selepas 10 minit terhenti adalah detik paling mengharukan. 

BACA LAGI: Ibu guna kaedah 'gentle parenting', didik 2 anak autistik fasih berbahasa Inggeris 'pelat' British

BACA LAGI: 'Sebiji macam jaga bayi', anak mandikan ibu strok bagai jenazah, rela jaga selagi ada kudrat

"Badan pucat, putih, aliran darah tak stabil, sistem organ semua tak berfungsi, doktor berjuang dan saya hanya mampu berdoa ketika itu. 

"Pada hari kelima, susu ibu diberi kepadanya dan perubahan begitu ajaib, badan mula kemerah-merahan, aliran darah stabil, oksigen dikurangkan sehingga boleh bernafas sendiri," katanya kepada Majoriti baru-baru ini.

Beliau menekankan bahawa situasi itu benar-benar berlaku meskipun anaknya lahir dengan kondisi yang sangat luar biasa, berbeza dengan bayi normal lain. 

"Kami fikir dia dah tak ada, tapi ALLAH berkehendak lain, susu ibu menjadi asbab nyawanya kembali," tambahnya.

Detik awal aktiviti larian

Pada 2014, ketika usia gadis istimewa mesra disapa Dihan itu mencecah 6 tahun, Wira Sudepja menyedari bahawa perubahan gaya hidup keluarga sangat penting bagi memastikan anak mereka mendapat penjagaan dan stimulasi optimum.

Lalu dengan bersama isteri mereka memutuskan untuk membawa anak keluar setiap hujung minggu di kawasan taman dan tasik sekitar Putrajaya.

Menggunakan stroller sambil menolak Dihan, bapa kepada dua cahaya mata itu bagaikan terpaku apabila anaknya yang selama ini hanya terlantar tanpa berkata-kata, tiba-tiba mampu tertawa dan tersenyum.

"Apabila ketawa dan reaksinya berubah, itu satu awakening untuk kami dan menyedari bahawa aktiviti luar memberi impak positif kepada imuniti dan keseronokan buat Dihan.

"Dari situ kami mula jadikan amalan, dari awalnya cuma sejam bersiar-siar tukar pada berperingkat dua jam supaya Dihan melihat dunia luar yang tak pernah dirasai," tambahnya.

Tempah khas dari China

Tidak berhenti di situ, pasangan suami isteri itu, kemudiannya mula memperkenalkan aktiviti fizikal lebih interaktif, termasuk berbasikal. 

Menggunakan sejenis pengangkutan yang ditempah khas dari China, ia membolehkan Dihan seperti menaiki basikal dalam masa sama melakukan aktiviti larian secara serentak. 

Sepanjang proses itu, mereka turut merujuk kepada pakar untuk memilih ubat-ubatan dan suplemen yang sesuai bagi menyokong sistem imun anaknya.

Wira Sudepja sentiasa cekal dalam membesarkan anak istimewanya yang dilahirkan dengan cerebral palsy sejak lahir.

Pencapaian luar biasa

Walaupun lumpuh sepenuhnya sejak lahir, Dihan kini sudah terbiasa menyertai aktiviti larian hujung minggu bersama bapanya.

Sehingga kini, lebih 300 acara larian dicatatkan sepanjang hidupnya di samping keringat dan tenaga bapanya yang cekal membawa anaknya berekreasi di serata negara.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, beliau semakin berani menyertai cabaran fizikal yang lebih kompleks seperti Duathlon, sekali gus mencatatkan rekod Malaysia Book of Records sebagai peserta pertama cerebral palsy dalam kategori tersebut.

Bapanya berkata, kejayaan anaknya bukan sekadar mengenai sukan atau rekod, tetapi pengalaman membina keyakinan dan menikmati setiap momen bersama. 

"Dia makin dewasa, saya enggan risaukan masa depan yang penting kita nikmati peluang yang ada.

"Memang Dihan dah berusia 17 tahun, fasa remaja untuk anak perempuan ada macam-macam dugaan tapi sebagai bapa saya tak fikir sangat, yang penting setiap momen itu digunakan sebaiknya sebab masa tak boleh diputar semula," ujarnya.

Inspirasi ramai

Segala yang dikongsikan menurut Wira Sudepja bertujuan memberi inspirasi bukan sahaja untuk keluarga mempunyai anak berkeperluan khas, tetapi juga masyarakat umum. 

Jelasnya, kasih sayang, kesabaran dan sokongan keluarga adalah faktor utama dalam membina keyakinan serta kecemerlangan anak, walaupun menghadapi cabaran fizikal yang sangat besar.

"Untuk kita yang beriman, percayalah pada ALLAH, kun faya kun kerana jika DIA berkehendak, nyawa boleh kembali dan peluang untuk anak menikmati kehidupan itu amat berharga," ujarnya mengakhiri bicara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram