'Sebiji macam jaga bayi', anak mandikan ibu strok bagai jenazah, rela jaga selagi ada kudrat


  • Bonda
  • Isnin, 03 Nov 2025

Farid cekal menjaga dan memandikan ibunya yang kini terlantar akibat strok.

"KALAU dia boleh sebut nama saya semula pun, itu sudah satu anugerah besar."

Demikian luahan penuh sebak seorang anak lelaki yang sanggup berkorban masa dan tenaga demi menjaga ibunya yang kini terlantar akibat strok sejak beberapa bulan lalu.

Farid Nasir, 32, menjadi satu-satunya anak lelaki dalam empat beradik yang memikul tanggungjawab menjaga ibunya, Nor Jonaine, 60, atau mesra disapa Neknon, selepas wanita itu diserang strok kali kedua sekitar Julai lalu.

BACA LAGI: Bella Astillah iringi anak hingga garisan penamat, Ayden dan Ara julang gelaran Iron Kids Langkawi

BACA LAGI: 'Patik junjung kasih Tuanku tajaan IVF' bapa syukur dapat kembar 3, setahun lepas tragedi anak sulung 'pergi' di taska

Menurut Farid, ibunya mula mengalami strok separuh badan sejak Mac, pada hari pertama Ramadan.

Ketika itu, Neknon dikatakan tiba-tiba rebah sebelum Subuh dan disahkan mengalami strok sebelah badan.

"Masa tu mak separuh badan lumpuh, tapi masih boleh bercakap dan senyum cuma dia selalu sedih sebab anak-anak lain jarang datang tengok, dia tunggu tapi tak muncul," katanya kepada Majoriti.

Namun, situasi kian meruncing apabila malam sebelum Aidiladha, ibunya sekali lagi mengalami tekanan emosi apabila anak-anak lain dikatakan tidak pulang berkumpul bersama.

Keesokan paginya, Neknon rebah semasa bangun untuk bersahur puasa Arafah dan segera dikejarkan ke hospital.

"Doktor kata mak kena sawan berterusan sampai dua hari, dari situ dia terus ‘shutdown’ sepenuhnya dan tak lagi boleh bergerak," jelasnya.

Sejak itu, Farid menguruskan sepenuhnya kehidupan ibunya yang kini terlantar di rumah termasuk urusan mandian, makan, terapi fisiologi dan rawatan susulan yang dijalankan melalui program Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi pesakit terlantar di rumah.

 

 

 

Bayi baru lahir

Farid mengakui menjaga ibu yang tidak berdaya memerlukan kesabaran luar biasa, malah menyamakan rutin hariannya seperti menjaga bayi kecil.

"Macam jaga new born, kalau dia menangis, kita tak tahu sebab apa, kalau dia tidur pun, saya risau tengok dada dia naik turun ke tak.

"Kadang letak mesin nadi kat jarinya sebab takut apa-apa jadi," ujarnya.

Baginya, setiap kali memandikan ibunya, dia menganggap saat itu sebagai masa paling istimewa masa berdua yang membuatkan dia menginsafi dosa-dosa silam terhadap bondanya.

"Saya mandikan mak macam mandikan jenazah, bila sentuh badan mak, teringat semua dosa dulu.

"Saya pernah emosi dan marah masa mak separuh badan dulu, sekarang rasa sangat bersalah," katanya.

 

Inspirasi anak lelaki lain

Farid juga berharap kisahnya dapat membuka mata anak-anak lelaki di luar sana tentang tanggungjawab menjaga ibu bapa, bukan hanya diserahkan kepada adik-beradik perempuan.

"Kudrat lelaki ALLAH bagi untuk lindungi dan bantu mak ayah, ramai perempuan terpaksa jaga mak sorang-sorang sebab abang-abang lepas tangan, tak guna cari rezeki kalau abai mak," pesannya.

"Emosi tu normal, tapi saya belajar jangan pendam, kalau rasa tertekan, luahkan pada orang yang memahami.

"Saya pun terbuka kalau ada orang nak DM sekadar nak luahkan,” katanya yang merupakan bapa kepada dua cahaya mata.

Farid tetap berdoa agar ibunya kembali pulih walaupun sedikit, sekurang-kurangnya cukup untuk memanggil namanya semula.

“Kalau mak dapat sebut nama saya balik, itu pun dah cukup, saya akan jaga selagi ada kudrat," ujarnya mengakhiri perbualan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram