Ramai pernah kena! Ini tip penting jika jadi mangsa scammer, kecurian identiti kad kredit


  • Bisnes
  • Sabtu, 04 Okt 2025

Jika anda memberikan maklumat kad kredit atau akaun bank kepada penipu, segera hubungi institusi kewangan. — Gambar hiasan/ AZLINA ABDULLAH/The Star

DI Threads baru-baru ini, seorang pengguna berkongsi detik cemas selepas menjadi mangsa penipuan kad kredit. 

Dengan apa yang terjadi, mangsa scammer pasti mengalami kesan emosi seperti trauma selain berasa malu kerana terperdaya dengan penipuan tersebut.

Dalam keadaan sedemikian, sebenarnya anda tidak perlu berasa malu kerana sesiapa sahaja boleh terjebak dengan taktik penipuan yang semakin licik. 

BACA LAGIBerderet masuk 'secure2u', wanita terkejut transaksi kad kredit lebih RM3,000, kecewa RM100 dah lesap kena kebas scammer

BACA LAGI: 'Cash out' BNPL konon nak pegang tunai dalam tangan tapi jalan pintas ke lubang hutang

Pakar dalam bidang penipuan kewangan dan kecurian identiti turut bersetuju dengan pandangan itu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Identity Theft Resource Center, Eva Velasquez turut menegaskan bahawa individu yang celik keselamatan siber juga boleh terperangkap dengan taktik licik.

Berikut beberapa langkah yang boleh diambil untuk bangkit semula daripada pengalaman buruk itu:

1. Catat semua yang berlaku

Kumpulkan seberapa banyak maklumat terperinci tentang kejadian itu. 

Cuba ingat semula apa yang anda klik atau dengan siapa anda berurusan. Butiran ini boleh membantu menentukan langkah seterusnya.

Sebagai contoh, jika anda memuat turun perisian hasad (malware), langkah berikutnya ialah menjalankan imbasan pada peranti atau melakukan tetapan semula kilang (factory reset).

Jika anda log masuk ke laman web palsu, kemungkinan besar penipu sudah merekodkan kekunci anda (keystrokes).

Dalam keadaan itu, segera tukar kata laluan dan hubungi pihak bank. Bertindak segera bagi mengelakkan perkara lebih buruk.

2. Hubungi institusi kewangan

Sekiranya anda memberikan maklumat kad kredit atau akaun bank kepada penipu, segera hubungi institusi kewangan berkaitan. 

Mereka mempunyai prosedur tertentu termasuk membantu menukar kata laluan atau menutup akaun lama dan membuka akaun baharu. 

Proses tersebut mungkin melibatkan penggantian kad kredit atau debit.

Bagi kes penipuan kad kredit, anda biasanya boleh membuat pertikaian transaksi dan menuntut wang kembali mengikut prosedur perlindungan penipuan pengeluar kad.

Jika maklumat lain seperti nombor lesen memandu atau butiran pasport turut dikongsi, anda dinasihatkan menghubungi agensi kerajaan berkaitan untuk tindakan lanjut.

Sentiasa pantau akaun kewangan bagi mengesan sebarang transaksi mencurigakan selepas insiden berlaku.

Pilihan lain ialah membekukan kredit bagi menghalang akaun baharu dibuka atas nama anda.

Selain itu, ada juga perkhidmatan pemantauan kredit berbayar yang tidak dapat mencegah penipuan secara langsung, tetapi boleh memberi amaran awal supaya anda bertindak pantas.

3. Buat laporan polis

Laporan polis penting untuk mewujudkan rekod rasmi tentang kejadian penipuan. Ini boleh membantu anda atau institusi kewangan dalam usaha mendapatkan semula wang.

Namun, langkah tersebut tidak semestinya menjamin wang anda dapat dikembalikan.

Meskipun demikian, tindakan melaporkan kepada pihak berkuasa tetap penting untuk mengelakkan kerugian berterusan.

4. Bercerita tentang pengalaman

Salah satu cara untuk melawan rasa malu akibat penipuan ialah dengan berkongsi kisah itu kepada keluarga atau rakan supaya mereka lebih peka dengan tanda-tanda penipuan.

Cara itu juga boleh membantu mereka daripada terjebak ke dalam perangkap sama.

Jika anda mengenali seseorang yang sedang pulih daripada trauma ditipu, hulurkan sokongan emosi kerana anda melalui pengalaman serupa dan memahami perasaan itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram