Universiti terkemuka Korea Selatan 'reject' 45 pelajar gara-gara rekod buli


  • Bonda
  • Sabtu, 08 Nov 2025

Bermula tahun depan, semua universiti di Korea Selatan diwajibkan melaksanakan potongan markah mandatori terhadap pemohon yang mempunyai rekod keganasan di sekolah. — Gambar hiasan

WALAUPUN cemerlang dari segi akademik, dua pelajar ditolak kemasukan ke Universiti Kebangsaan Seoul (SNU) tahun lalu bukan kerana gagal mencapai markah yang ditetapkan, sebaliknya disebabkan rekod lampau membuli di sekolah.

Mereka merupakan antara 45 pemohon ke enam universiti awam utama di Korea Selatan yang impian melanjutkan pelajaran ke universiti musnah akibat sejarah terlibat dalam keganasan di sekolah. 

Fenomena itu mencerminkan perubahan ketara dalam penilaian sahsiah sebagai faktor penting dalam proses kemasukan universiti negara itu.

BACA LAGI: Buang sekolah takkan selesaikan kes buli — PIBGN

BACA LAGI: Bukan suruh rotan atau jerit, ibu bapa perlu ada batas didik anak

Dua pelajar yang ditolak di SNU itu memohon melalui keputusan peperiksaan kemasukan kolej (CSAT).

Walaupun memperoleh keputusan cemerlang, rekod penglibatan mereka dalam kes membuli di peringkat sekolah rendah, menengah atau menengah atas menyebabkan mereka tidak layak diterima. 

Sejak tahun akademik 2014, SNU mengenakan potongan sehingga dua mata daripada markah CSAT bagi pemohon yang pernah dikenakan tindakan disiplin seperti pertukaran sekolah atau pengusiran.

Pelajar tahun pertama merakam gambar di Universiti Kebangsaan Seoul semasa majlis kemasukan pada 29 Februari 2024. — Agensi

Di Korea, terdapat dua laluan utama kemasukan ke universiti iaitu kemasukan awal, yang menilai rekod sekolah dan temuduga serta kemasukan biasa, yang berasaskan keputusan CSAT.

Universiti Kebangsaan Pusan dilaporkan menolak lapan pelajar, enam daripada laluan kemasukan awal dan dua daripada kemasukan biasa disebabkan rekod keganasan di sekolah. 

Universiti Kebangsaan Kangwon pula menolak lima pelajar, manakala Universiti Kebangsaan Jeonbuk mencatatkan lima kes serupa.

Sementara itu, Universiti Kebangsaan Gyeongsang turut menolak tiga pelajar kemasukan awal, sementara Universiti Kebangsaan Kyungpook merekodkan jumlah tertinggi dengan 22 pelajar ditolak.

Sebaliknya, empat universiti lain iaitu Universiti Kebangsaan Chonnam, Universiti Kebangsaan Jeju, Universiti Kebangsaan Chungnam dan Universiti Kebangsaan Chungbuk tidak menolak sebarang pelajar atas alasan tersebut. 

Ia kerana mereka hanya menilai rekod keganasan di sekolah bagi laluan tertentu seperti atlet pelajar.

Bermula tahun depan, semua universiti di Korea Selatan diwajibkan melaksanakan potongan markah mandatori terhadap pemohon yang mempunyai rekod keganasan di sekolah tanpa mengira jenis kemasukan. 

Langkah itu susulan kemarahan awam selepas pendedahan kes anak bekas pendakwa raya, Chung Sun-sin yang pernah dilantik sebagai Ketua Pejabat Penyiasatan Nasional pada 2023 masih diterima masuk ke SNU walaupun pernah ditukar sekolah kerana membuli, dengan hanya potongan dua mata daripada markah CSAT.

Namun, penguatkuasaan dasar baharu itu turut menimbulkan kebimbangan terhadap peningkatan jumlah pertikaian dan aduan di sekolah. 

Kini, semakin ramai pelajar yang dituduh membuli mengambil khidmat guaman dan memfailkan saman pentadbiran bagi membatalkan keputusan disiplin terhadap mereka.

Pengkritik memberi amaran bahawa trend tersebut yang sering digalakkan oleh firma guaman berisiko menjadikan kes keganasan di sekolah sebagai medan keuntungan serta mencetuskan kitaran pertikaian undang-undang yang boleh menjejaskan suasana pembelajaran di bilik darjah. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram