Terima panggilan tapi senyap? Nombor anda mungkin sedang ‘dijejaki’ scammer


  • Bisnes
  • Isnin, 27 Okt 2025

Panggilan senyap dibuat bagi mengesahkan sama ada nombor telefon tersebut masih aktif dan dimiliki oleh individu sebenar. — Gambar hiasan

MENERIMA panggilan telefon tetapi hanya disambut dengan bunyi senyap boleh menjadi pengalaman yang tidak menyenangkan bagi sesiapa sahaja.

Apabila anda menjawab dan berulang kali mengucapkan 'hello', namun tidak mendengar sebarang balasan, lumrah untuk tertanya-tanya apa yang sebenarnya berlaku di hujung talian.

Adakah panggilan senyap daripada nombor tidak dikenali ini berkemungkinan datang daripada scammer?

BACA LAGI: Peniaga Pasar Seni mengeluh jualan hambar, dakwa terjejas akibat lambakan produk dari China

BACA LAGI: Tukar lokasi pun orang masih cari paru 'crispy', nasi Padang kini taruhan pasangan suami isteri dari Kedah di Zafza Cafe Seri Kembangan

Ada scammer yang merakam panggilan bagi mengenal pasti bunyi latar belakang atau suara pengguna. — Gambar hiasan

CyberSecurity Malaysia mengesahkan kepada MyCheck.my bahawa panggilan senyap berkemungkinan besar dilakukan oleh penipu (scammer) yang bertujuan mengenal pasti sasaran bagi pelbagai taktik penipuan.

Panggilan senyap ialah panggilan yang dijawab penerima, namun tiada sebarang suara atau respon daripada pemanggil, sebelum talian terputus selepas beberapa ketika.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab berkata, tujuan utama panggilan sebegitu adalah untuk mengesahkan sama ada nombor telefon tersebut masih aktif dan dimiliki oleh individu sebenar.

“Jika mangsa menjawab, nombor itu akan dimasukkan ke dalam senarai sasaran dan kemudiannya dijual atau digunakan untuk penipuan seterusnya,” katanya.

Penipu juga menggunakan panggilan senyap untuk menguji reaksi mangsa dan menilai sama ada mereka mudah terpedaya dengan komunikasi susulan.

Ini boleh dilakukan melalui mesej SMS yang mendorong tindakan seperti:

“Akaun anda akan digantung, sila hubungi nombor ini,” atau “Sila sahkan transaksi dengan mengklik pautan berikut.”

“Terdapat juga kes di mana selepas menerima panggilan senyap, mangsa akan mendapat mesej WhatsApp dengan modus operandi yang sama seperti pautan palsu, tawaran kerja atau notifikasi bank,” jelas Amirudin.

Selepas menerima beberapa kali panggilan senyap, mangsa mungkin akan dihubungi oleh nombor lain, di mana penipu menyamar sebagai wakil bank, syarikat kurier, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau agensi kerajaan.

“Kadangkala nombor tersebut turut dipalsukan (spoofed) supaya kelihatan seperti nombor tempatan,” tambahnya.

Satu lagi tujuan panggilan senyap ialah untuk mengumpul metadata, malah ada yang merakam panggilan bagi mengenal pasti bunyi latar belakang atau suara pengguna.

Amirudin berkata, terdapat beberapa perbezaan antara panggilan senyap daripada penipu dan panggilan tidak sengaja.

Panggilan penipuan biasanya menunjukkan pola berulang daripada nombor tidak dikenali atau nombor yang pelik dan terlalu panjang.

Pemanggil tidak akan berinteraksi selepas panggilan dijawab, tiada bunyi latar belakang, dan panggilan tidak akan diputuskan segera.

Ini berbeza dengan panggilan tidak sengaja, di mana bunyi latar belakang biasanya boleh didengar, atau panggilan diputuskan dengan cepat sebaik pemanggil menyedari kesilapan.

“Selain itu, satu lagi petanda mencurigakan ialah selepas panggilan senyap, mangsa biasanya akan menerima panggilan lain yang kononnya daripada pihak bank, polis atau mahkamah,” tambah Amirudin.

Jika ragu-ragu, penerima panggilan senyap dinasihatkan supaya segera memutuskan talian bagi mengelak sebarang risiko penipuan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram