'Jangan jadi kera sumbang', Cikgu Saffuan kongsi 7 tip ‘survive’ di pedalaman Sarawak


  • Cinta
  • Sabtu, 08 Nov 2025

Muhammad Saffuan menasihatkan agar guru sentiasa menghormati kepercayaan serta adat masyarakat setempat. — Facebook/Muhammad Saffuan

MENJADI guru di negeri orang, apatah lagi di kawasan pedalaman seperti Sarawak bukan tugas mudah.

Namun bagi seorang guru dikenali sebagai Muhammad Saffuan, pengalaman itu menjadi satu perjalanan bermakna yang bukan sahaja mendidik, tetapi juga membentuk dirinya menjadi insan lebih matang.

Melalui perkongsian di Facebook, beliau berkongsi pengalaman sebenar tentang bagaimana dirinya menyesuaikan diri dan membina hubungan baik dengan komuniti tempatan.

"Mula-mula sampai Sarawak, saya memang blur. Line tiada, jalan pun tak biasa, orang di sekeliling semua cakap loghat, bahasa lain

"Namun dari situlah saya belajar, kalau nak bertahan kena pandai bawa diri," katanya pada Jumaat.

BACA LAGI: Atlet bola tampar terus ukir nama di gelanggang antarabangsa, Tasha Mae sasar aksi cemerlang di Sukan SEA 2025

BACA LAGI: Atlet bola tampar terus ukir nama di gelanggang antarabangsa, Tasha Mae sasar aksi cemerlang di Sukan SEA 2025

Berikut tujuh tip daripada Muhammad Saffuan untuk guru-guru baharu yang bakal berkhidmat di Bumi Kenyalang:

1) Jumpa orang penting

Menurutnya, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah berkenalan dengan individu berpengaruh tempatan seperti ketua kampung, tuai rumah, penghulu, imam, pastor, guru besar atau Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Ini antara orang pertama yang kita kena kenal, mereka yang akan tolong kalau kita sesat, tiada air atau nak tumpang bot ke pekan.

"Selain guru besar, mereka juga ada pengaruh besar terhadap sekolah dan komuniti, jangan pandang ringan. Kadang satu senyuman ikhlas kita pada mereka, boleh mudahkan banyak urusan," katanya.

2) Belajar bahasa tempatan

Ujarnya, masyarakat tempatan suka apabila orang luar cuba memahami bahasa dan budaya mereka.

"Tidak perlu fasih, cukup tahu perkataan asas. Kadang salah sebut itu biasa, nanti orang kampung betulkan sambil ketawa, bukan marah pun," jelas beliau.

Menurutnya, usaha kecil itu sebagai tanda hormat dan membuatkan penduduk mudah menerima kehadiran guru baharu.

3) ‘Masuk’ cara kampung

Jangan malu untuk ikut aktiviti kampung seperti menangkap ikan, menoreh, menganyam tikar atau gotong-royong.

Jelasnya, dari situ banyak yang akan dipelajari, bukan setakat budaya tapi nilai hidup.

“Saya pernah pergi menjala ikan punyalah teruja sebab banyak ikan, terus terjun dalam sungai.

"Air dah sampai paras dada baru teringat, ada telefon pintar saya dalam poket. Simpan dalam tong beras pun dah tak guna," kongsinya.

Muhammad Saffuan membantu penduduk kampung menjalankan proses mengeluarkan padi daripada tangkai atau dipanggil mahik parai.  — Facebook/Muhammad Saffuan

4) Jaga hubungan dengan komuniti

Di tempat baharu, hubungan dengan orang sekeliling sangat penting.

Menurutnya, hidup di perantauan memerlukan sokongan sosial.

“Kalau orang bagi ikan, terima. Kalau ada kenduri atau gotong-royong, pergi. Cikgu tak boleh jadi kera sumbang,” ungkapnya.

5) Hormat budaya

Sarawak penuh dengan kepelbagaian etnik dan agama. Beliau menasihatkan agar guru sentiasa menghormati kepercayaan serta adat masyarakat setempat.

“Jangan keluarkan kenyataan yang boleh menyinggung perasaan orang lain. Biar berbeza, tapi jangan biadab,” tegasnya lagi.

Muhammad Saffuan ketika menumbuk halus daun ubi, itun uvek.  — Facebook/Muhammad Saffuan

6) Sediakan barang keperluan

Menurutnya, tidak perlu menunggu stok habis sebelum membeli keperluan kerana ada kalanya bot tidak dapat bergerak disebabkan air surut atau hujan turun tanpa henti selama beberapa hari.

"Dulu stok makanan kami hanya tinggal telur sebiji saja, itu pun kawan buat sup makan tiga orang.

"Pernah simpan makanan di peti sejuk rumah guru besar sebab belum ada peti sendiri.

"Hari-hari pergi ambil makanan sampai licin peti sejuk, rupanya kami siap 'bedal' makanan guru besar," cerita beliau.

7) Tenang dan anggap murid seperti keluarga

Hidup jauh daripada keluarga memang mencabar, namun bagi Muhammad Saffuan, keikhlasan murid-murid mengubat segala rindu.

“Apabila tengok muka anak murid senyum pagi-pagi, semua penat hilang. Anggap mereka seperti anak sendiri, sebahagian daripada kita.

"Di Sarawak saya jumpa keluarga baharu yang anggap saya macam anak sendiri, sangat terharu,” luah beliau.

Akui guru tersebut, Sarawak bukanlah tempat untuk diuji, sebaliknya tempat yang membentuk dirinya menjadi manusia sebenar.

“Dulu saya datang dengan rasa takut tapi sekarang, saya bawa balik kenangan yang tidak akan dilupakan," kongsinya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram