PENGORBANAN anggota tentera sering kali tidak terlihat di sebalik seragam dan tanggungjawab dipikul, namun realitinya mereka membawa beban emosi yang besar setiap kali melangkah pergi meninggalkan keluarga.
Itulah dilalui seorang anggota Malaysian Battalion (MALBATT) apabila terpaksa berpisah dengan anaknya yang baru berusia 10 hari demi memenuhi panggilan tugas negara di luar negara.
Menurut perkongsian isterinya di laman sosial, suami hanya sempat bersama anak selama tiga hari sebelum berangkat menjalankan misi yang difahamkan bakal menelan masa sehingga setahun.
BACA LAGI: ‘Kami bungee jump dan skydiving’, Siti Saleha syukur rezeki hamil walaupun lasak ketika 'honeymoon'
Dalam luahan penuh sayu, isterinya berkata:
"Awang Ali Zulfihiqaar, tumbuhlah menjadi anak hebat dan kuat, sekuat ibu dan bapak, 10 hari dilahirkan ke dunia, hanya 3 hari dapat merasa sentuhan dan kasih seorang ayah sebelum bapanya terbang jauh ke negara orang demi tanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara," ciapnya.
Katanya lagi, perpisahan itu bukan mudah, namun beliau reda dan menyerahkan segalanya kepada ALLAH demi keselamatan suaminya serta keberlangsungan tugas negara.
"The hardest goodbye abangku sayang, may ALLAH protect you always and anywhere, kami semua love you so much. Don’t worry, saya tengokkan anak-anak,” ujarnya.
Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi warganet, khususnya mereka yang pernah melalui situasi sama sepanjang bergelar anggota tentera.
Hazizy Hussin yang juga difahamkan bekas anggota tentera, menggambarkan betapa beratnya pengorbanan seorang isteri membesarkan anak sendirian.
"Dah alami bukan sekali, tapi berkali-kali sehingga tamat perkhidmatan, anak tak kenal kita, tak nak kat kita, nanti kau akan rasa.
"Yang kuat mental sebenarnya isteri kita, dialah yang banyak membesarkan anak kita sorang-sorang.
"Dalam kem pun kita selalu tak ada di rumah on duty, latihan, tiga hari sampai seminggu tak balik tu biasa sebab tu hargailah selagi dia masih ada," tambahnya yang kini 13 tahun bersara selepas berkhidmat selama 28 tahun.
Seorang lagi bekas anggota, Rizman Majid turut menceritakan bahawa anak pertamanya baru berusia 14 hari ketika beliau menyertai kontinjen pertama Malaysia ke Lubnan (MALCOY UNIFIL) pada 2007.
"Masa tu tak tahu apa keadaan di Lubnan, reda dan yakin dengan ketentuan ALLAH, syukur diberi perlindungan pada kami dan seluruh pasukan," katanya sambil mendoakan keselamatan semua anggota yang sedang berkhidmat.
Sementara itu, Amin Asma Ali turut berkongsi kisah ketika suaminya bertugas di Riyadh semasa beliau masih dalam tempoh berpantang.
"Ayahnya balik, anak dah besar, Alhamdulillah sekarang dah duduk dengan ayah sebab ayah dah berhenti awal, tak sanggup biarkan golden moment anak berakhir tanpa ayah di sisi," katanya.
Perkongsian itu menggambarkan realiti pengorbanan keluarga tentera bukan sahaja kepada negara, tetapi juga isteri, anak dan seluruh keluarga yang menanggung rindu serta menanti kepulangan mereka.
Walau terpaksa melepaskan detik berharga bersama cahaya mata, semangat mereka tetap utuh demi amanah menjaga keselamatan dan maruah negara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
