RAMAI ibu bapa zaman kini berdepan dilema apabila anak menunjukkan tanda kelewatan pertuturan atau kesukaran berkomunikasi.
Bagi keluarga yang mempunyai anak autistik, cabarannya jauh lebih besar kerana setiap keputusan, termasuk pemilihan bahasa, gaya komunikasi dan kaedah mendidik memberi kesan langsung terhadap perkembangan mereka.
Namun, bagi Raihana Annur Hanna, 40, pendekatan digunakan membuahkan hasil apabila dua anaknya yang awalnya didiagnosis speech delay dan autisme kini fasih bertutur bahasa Inggeris dalam dialek British.
BACA LAGI: Pempengaruh Tara Choi kahwin jejaka Malaysia, perkahwinan berlangsung penuh tradisi di Korea Selatan
BACA LAGI: 'Ini tentang hak wanita', Miss Universe Mexico diarah keluar, peserta lain tunjuk solidariti
Jelas suri rumah sepenuh masa itu, anak sulung dan keduanya mengalami gejala lewat bercakap sejak usia 24 bulan, jauh daripada perkembangan normal kanak-kanak yang lazimnya sudah mula menguasai perkataan pada usia 18 bulan.
"Dari 12 bulan sampai besar, memang tak ada perkataan langsung, ajar Bahasa Melayu, mereka tak terima, bila tak dapat berkomunikasi, mereka akan tantrum," katanya kepada Majoriti.
Bertitik tolak daripada itu, Raihana mula memperkenalkan bahasa Inggeris sebagai medium komunikasi utama di rumah selepas menyedari anak-anaknya lebih responsif dalam pertuturan tersebut.
"Bila ubah ke bahasa Inggeris, mereka kurang tantrum, bahasa Inggeris lebih mudah dan ringkas, dari kecil memang saya ajar speaking.
"Budak sekarang memang banyak screen time, tapi kalau kita pandai pilih video yang betul seperti Blippy, ia sangat membantu, accent pun banyak mereka ambil daripada kartun," katanya.
Tambahnya, perubahan itu turut mempengaruhi anak bongsunya yang tidak mempunyai keperluan khas, namun fasih bertutur Inggeris hasil penggunaan bahasa tersebut 24 jam di rumah.

Ketiga-tiga anaknya menjadikan bahasa Inggeris sebagai pertuturan seharian di rumah.
Didikan gentle parenting
Jelasnya, kaedah digunakan bukan berasaskan paksaan atau ketegasan berlebihan, tetapi mengutamakan kefahaman terhadap dunia anak-anak autistik.
"Saya lebih kepada menjiwai apa mereka rasa, saya jadi kanak-kanak balik, saya main dengan mereka.
"Saya lebih kepada western parenting, cakap lembut, faham mereka walaupun susah bertutur, didikan gentle parenting sangat membantu.
"Kalau ada anak autistik, kita kena masuk dunia mereka, tak perlu jadi garang atau perfect untuk keluarga, kita kena sokong, bukan marah bila mereka tak perform," katanya.
Walaupun didiagnosis speech delay dan berada dalam spektrum autisme, ia bukan halangan untuk anak-anaknya bertutur, belajar dan mencapai potensi sebenar.
Dengan pendekatan yang sesuai, kemampuan bahasa mereka boleh berkembang lebih jauh daripada jangkaan dan kebolehan bertutur bahasa Inggeris dengan lancar di usia muda merupakan satu perkara wajar dipuji. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
