PELAKON popular, Siti Saleha mendedahkan dirinya sebenarnya sudah hamil ketika menjalani pelbagai aktiviti ekstrem sewaktu berbulan madu di New Zealand baru-baru ini.
Menurutnya, berita kehamilan itu diketahui selepas beliau mengalami perubahan pada tubuh yang disangka sebagai simptom keletihan biasa.
Namun, situasi menjadi semakin ketara sehingga mendorongnya melakukan ujian kehamilan usai pulang dari percutian berbulan madu.
BACA LAGI: 'Ini tentang hak wanita', Miss Universe Mexico diarah keluar, peserta lain tunjuk solidariti
"Saya ingat simptom itu sementara saja, lama-lama ia makin meningkat dan agresif, saya buat ujian, tunjuk pada Josh kemudian ulang semula minggu berikutnya untuk pastikan.
"Selepas pergi klinik, barulah dapat kepastian saya positif hamil," katanya kepada Majoriti.
Sama sekali tidak menjangkakan keputusan tersebut, bintang filem KL Zombi (2013) itu walau bagaimanapun menitip rasa syukur atas kurniaan zuriat dalam tempoh awal perkahwinan.
Malah, sepanjang percutian itu, dia dan suaminya telah melakukan pelbagai aktiviti lasak seperti bungee jumping dan skydiving yang sama sekali tidak sesuai bagi situasi ibu hamil.
"Kami berdua terkejut, saya rasa kami terkejut semasa bulan madu di New Zealand kerana bulan madu itupun agak ganas.
"Kami bungee jump, buat aktiviti-aktiviti lasak sky diving dan banyak makan, Alhamdulillah saya mengandung," ujarnya.
Suami morning sickness
Berkongsi lanjut mengenai kehamilannya, Siti menjelaskan dirinya sama sekali tidak mengalami alahan teruk seperti kebanyakan wanita hamil.
"Alhamdulillah, tiada morning sickness yang berat, cuma cepat letih terutama masa saya tengah sibuk di set penggambaran.
"Saya rasa suami saya yang ada banyak simptom, dia suka makan makanan masin saya tak kisah makan apa-apa tapi dia akan makan lebih banyak dan dia ada lebih teruk morning sickness daripada saya," katanya berseloroh.
Menganggap perubahan dialami suaminya sebagai petanda besar dirinya sedang hamil, Siti lantas melakukan pemeriksaan kehamilan bagi mendapatkan kepastian yang pada akhirnya benar seperti dijangkakan.
Latar belakang
Untuk rekod, Siti Saleha, 35, mendirikan rumah tangga dengan pilihan hatinya Joshua Fitton, seorang pereka fesyen.
Majlis pernikahan mereka dilangsungkan secara tertutup pada Jun 2024 selepas beberapa bulan menjalin cinta.
Ketika disoal perancangannya selepas bersalin, Saleha berkata, segalanya bergantung kepada keadaan dan tahap kesihatannya pada ketika itu.
"Saya mahu bekerja pada masa yang sesuai tetapi kerja yang sangat fleksibel, kita akan lihat, apabila saya sudah sedia mula bekerja semula, kemudian saya akan bekerja." katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
