"HARI itu juga dia patah balik ambil susu anak dan hari sama pulang sebagai jenazah".
Demikian luahan pilu seorang isteri, Nur Mas Idayu Buyung, 28, yang kehilangan suami tercinta, Muhammad Amir Mohd Alowi, 28, dalam kemalangan tragis berlaku ketika sedang keluar mengambil susu anak di tempat kerja.
Menerusi perkongsian di laman Threads, Mas Idayu memuat naik foto baju seragam suaminya yang dipenuhi kesan kotoran, dipercayai tepung susu anaknya, Harraz.
BACA LAGI: Pempengaruh Tara Choi kahwin jejaka Malaysia, perkahwinan berlangsung penuh tradisi di Korea Selatan
BACA LAGI: 'Ini tentang hak wanita', Miss Universe Mexico diarah keluar, peserta lain tunjuk solidariti
"Rupanya baju uniform awak penuh dengan tumpahan susu anak, itu paket susu yang melekat pada sweater suami saya,” katanya.
Menurutnya, setiap kali suaminya keluar bekerja, dia akan membantu memakaikan stokin namun, pada hari kejadian, dia terlalu letih selepas pulang dari klinik.
"Masa suami nak buka pintu, dia patah balik cium saya dan anak dia kata 'sayang ibu, sayang Harraz'.
"Suami saya dah tempah hotel surprise birthday saya di Terengganu hujung bulan ni, awak meninggal pun pada bulan hari jadi saya dan awak dah tempah kambing tiga ekor untuk aqiqah anak kita bulan satu tahun depan.
"Awak tak habis-habis bercerita tentang ‘kalau saya tak ada’ rupanya semua awak dah siapkan," ujarnya.
Idayu dalam masa turut menyifatkan arwah sebagai seorang suami yang sangat bertanggungjawab dan penyayang.
"Dengan nama ALLAH, suami saya seorang yang baik, saya selalu doa takut kehilangan suami sebab dia satu dalam sejuta.
"Semua kawan bercerita baik tentang awak sayangku," tambahnya.
Terdahulu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa menerusi kenyataan berkata, kemalangan berlaku pada pukul 8.20 malam membabitkan motosikal Honda RS150 dengan lori Nissan Tipper.
"Lori berkenaan berhenti di bahu kiri jalan kerana mengalami masalah mekanikal sebelum motosikal mangsa dipercayai melanggar besi gandar di bahagian belakang kenderaan itu.
"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah pada bahagian badan namun pemandu lori berusia 39 tahun dilaporkan tidak cedera," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu dengan cuai atau berbahaya.
Mohd Zamzuri menasihatkan pengguna jalan raya memastikan kenderaan sentiasa berada dalam keadaan baik dan tidak berhenti di lokasi yang boleh membahayakan pengguna lain, terutama pada waktu malam.
Polis turut meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Inspektor Muhammad Razif Jamaluddin di 019-448 2852 atau Balai Polis Trafik Kuala Lumpur di 03-2071 9999. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
