[VIDEO] Farah Lee 'update' projek perkampungan baharu di Afghanistan, 10 rumah siap, 10 lagi dalam proses akhir


  • Sukses
  • Jumaat, 07 Nov 2025

Sebanyak 20 rumah dibina bagi menempatkan keluarga yang kehilangan tempat tinggal di wilayah tersebut. — Instagram/fl.childrity

PROJEK pembinaan perkampungan baharu di Baghlan, Afghanistan yang diusahakan aktivis kemanusiaan dan pencipta kandungan, Farah Lee kini hampir siap sepenuhnya.

Farah yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Kebajikan FL meluahkan rasa sebak dan syukur melihat perkembangan positif projek berkenaan yang dijalankan melalui inisiatif projek MyKampung.

“Sebaknya apabila tengok dah #myKAMPUNGbaghlan hampir siap, ini sumbangan kalian semua, terima kasih Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Instagram @fl.childrity pada Khamis.

BACA LAGI: Ada 'master', belajar sampai UK, Farah Lee enggan ambil 'port' komen netizen 'sesak duit sampai berbisnes colek'

BACA LAGI: Solidariti Farah Lee di KLIA guna baju-T putih sebagai hijab dianggap kurang sesuai, bukan darurat

 

 

Menurut Farah atau nama sebenarnya Nurfarahin Romli, 33, sebanyak 20 rumah dibina bagi menempatkan keluarga yang kehilangan tempat tinggal di wilayah tersebut.

Ujarnya, 10 rumah telah siap sepenuhnya dan 10 lagi dalam proses akhir pembinaan.

Farah turut menjelaskan, projek berkenaan tercetus selepas beliau dan pasukan Pertubuhan Kebajikan FL melihat sendiri keadaan penduduk tempatan terpaksa tinggal di rumah bawah tanah yang digali sendiri bagi berteduh daripada cuaca ekstrem serta ancaman keselamatan.

“Kami gerakkan projek ini selepas tengok ramai keluarga tinggal dalam rumah bawah tanah yang sempit, tak selesa dan berisiko tinggi,” jelasnya.

Untuk rekod, projek MyKampung ialah salah satu projek kemanusiaan di bawah Pertubuhan Kebajikan FL, inisiatif diasaskan Farah sejak Januari 2022 bagi membantu komuniti terjejas di dalam dan luar negara termasuk di Syria, Palestin, Yaman dan Afghanistan.

Sejak pelancaran projek berkenaan, ibu kepada Maream Esabel itu giat mengumpul dana bersama sukarelawan tempatan dan rakan kerjasama antarabangsa bagi membina rumah baharu yang lebih selamat serta selesa untuk penduduk terkesan akibat konflik dan kemiskinan.

Walaupun pembinaan hampir selesai, Farah memaklumkan, pihaknya masih memerlukan sumbangan orang ramai untuk menyiapkan keseluruhan projek tersebut.

“Kami masih memerlukan sumbangan korang semua untuk siapkan projek #myKAMPUNGbaghlan ini.

"Setiap satu bata sangat berharga buat mereka di sana,” ujarnya sambil menyeru orang ramai menyalurkan bantuan melalui pautan dan akaun rasmi Pertubuhan Kebajikan FL. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram