NAMA Sarah Al-Suhaimi, 46, kini menjadi lambang kebangkitan wanita Arab Saudi dalam dunia kewangan yang selama ini dikuasai lelaki.
Bukan sekadar ikon wanita berpengaruh, beliau juga simbol perubahan besar dalam landskap profesional negara yang suatu ketika dahulu sangat konservatif terhadap peranan wanita.
Pada usia 44 tahun, Sarah mencipta sejarah apabila dilantik sebagai Pengerusi Bursa Saham Arab Saudi (Tadawul), iaitu bursa saham terbesar di Timur Tengah.
Pelantikan tersebut menjadikannya wanita pertama di rantau itu yang menduduki jawatan tertinggi dalam institusi kewangan berskala besar.
Di bawah kepimpinannya, Tadawul berkembang pesat dan muncul sebagai antara pemacu utama ekonomi negara.
Dilahirkan dalam keluarga yang berakar umbi dunia perbankan, Sarah mewarisi minat dan kebijaksanaan kewangan daripada bapanya, bekas Presiden Gulf Bank, Jammaz Al-Suhaimi yang juga bekas Pengerusi Capital Markets Authority Arab Saudi.
Beliau berkelulusan Ijazah Perakaunan daripada Universiti King Saud, sebelum melanjutkan pengajian ke Harvard Business School di Boston, Massachusetts, Amerika Syarikat (AS) dalam program pengurusan umum, yang mana beliau menamatkan pengajian dengan cemerlang.
Anak timbalan gabenor
Sebaik pulang ke tanah air, Sarah memulakan kerjaya di Samba Financial Group, satu-satunya wanita di bahagian pelaburan ketika itu.
Pada awal 2000-an, jumlah wanita Arab Saudi yang bekerja di luar rumah masih sangat kecil, apatah lagi dalam bidang perbankan dan pelaburan.
Namun, Sarah berani mencabar norma itu selepas diterima masuk ke Bahagian Pengurusan Pelaburan, walaupun perlu bekerja di pejabat berasingan kerana wanita ketika itu tidak dibenarkan berada di tingkat utama bahagian tersebut.

Di bawah kepimpinan Sarah, Tadawul berkembang pesat dan muncul sebagai antara pemacu utama ekonomi negara. — Agensi
Menariknya, ketika Sarah mula bekerja, bapanya merupakan Timbalan Gabenor Bank Pusat Arab Saudi dan individu utama yang mengawal selia sektor perbankan pelaburan negara sebelum tertubuhnya Pihak Berkuasa Pasaran Modal Saudi (Capital Market Authority).
Situasi itu menyebabkan beliau perlu berusaha lebih keras untuk membuktikan keupayaan diri.
“Mereka pada awalnya tidak memberi saya sebarang tugas kerana beranggapan saya hanyalah anak manja timbalan gabenor yang datang bekerja sekadar mengisi masa sebelum berkahwin.
“Tiada siapa yang mengambil saya secara serius pada waktu itu,” katanya mengenang semula pengalaman lalu.
Malah beliau pernah berdepan persepsi negatif daripada rakan sekerja yang menyangka dirinya mendapat jawatan kerana pengaruh keluarga.
Namun, bakat dan dedikasi beliau akhirnya terbukti apabila dilantik sebagai Pengurus Portfolio Kanan bagi menguruskan pelaburan bernilai lebih AS$12 billion (RM50 billion).
Kejayaan itu membuka laluan untuk beliau menerajui NCB Capital, cabang pelaburan milik National Commercial Bank sebagai ketua pegawai eksekutif.
Penggabungan antara NCB Capital dan Samba pada 2021 kemudiannya membentuk bank komersial terbesar di Arab Saudi, sekali gus menyaksikan satu lagi pencapaian penting yang berlaku dalam era kepimpinan Sarah.

Sarah juga simbol perubahan besar dalam landskap profesional negara yang suatu ketika dahulu sangat konservatif terhadap peranan wanita.
Titik perubahan terbesar kerjayanya hadir pada Februari 2017, apabila Sarah dilantik sebagai Pengerusi Tadawul, menjadikannya wanita pertama di Timur Tengah menduduki jawatan tersebut.
Di bawah teraju beliau, Tadawul mencapai kemuncak pada 2019 selepas berjaya menyenaraikan syarikat paling bernilai di dunia dengan penilaian mencecah AS$1.9 trillion (RM8 trillion), iaitu Saudi Aramco.
Pada 2024 pula, Tadawul menguasai 62 peratus daripada jumlah keseluruhan modal pasaran rantau ini, sekali gus mengatasi bursa lain dari segi nilai dagangan dan nisbah pusing ganti.
Lembaga pengarah
Kecemerlangan Sarah turut mendapat perhatian antarabangsa apabila Bloomberg menamakan beliau antara '50 people to watch' bagi 2018.
Kini, beliau turut menganggotai lembaga pengarah beberapa syarikat utama termasuk Saudi Airlines dan Saudi Telecom, selain menjawat jawatan Pengerusi Lazard untuk rantau Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA).

Sarah pernah berdepan persepsi negatif daripada rakan sekerja yang menyangka dirinya mendapat jawatan kerana pengaruh keluarga. — Agensi
Profesor dan penganalisis perniagaan menggambarkan Sarah sebagai seorang pemimpin berwibawa yang cekap membina kepercayaan, pantas menyesuaikan diri dengan perubahan dan tabah menghadapi cabaran seperti kejatuhan harga minyak serta pandemik Covid-19.
Dalam satu temu bual bersama Womenpreneur pada 2023, Sarah menegaskan pentingnya kepelbagaian dalam kepimpinan:
“Kepelbagaian dalam kepimpinan bukan sekadar soal keadilan, tetapi pemacu kepada inovasi dan kejayaan,” katanya.
Kini, antara tumpuan utama Sarah ialah memastikan Tadawul kekal kompetitif dan relevan di pasaran global, melalui strategi pertumbuhan mapan, pengukuhan tadbir urus serta inovasi digital dalam perkhidmatan kewangan.
Namun, cabaran yang dihadapi tidak kecil. Beliau perlu mengemudi institusi kewangan gergasi dalam era ekonomi yang semakin kompleks dan dinamik.
Sebagai wanita yang berjaya memecahkan tembok tradisi dan memimpin di peringkat tertinggi korporat, Sarah kini menjadi simbol transformasi wanita Arab Saudi. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
