SEORANG model warga Rusia tampil membuat laporan polis selepas mendakwa dirinya dirakam tanpa kebenaran oleh seorang lelaki ketika makan malam di sebuah restoran di ibu negara baru-baru ini.
Perkara itu dimaklumkan wanita tersebut, Alisa Kasimova menerusi hantaran di akaun Threads miliknya, pada Jumaat.
Lebih mendatangkan kemarahan, rakaman oleh lelaki yang juga suami kepada usahawan dari Kelantan itu turut disusuli dengan perbualan berunsur lucah serta gelak tawa daripada seorang wanita yang dipercayai pasangannya.
BACA LAGI: Polis KL siasat dakwaan gangguan seksual anggota terhadap wanita
BACA LAGI: [VIDEO] Kes amang seksual bekas guru praktikal digugurkan, pengadu tarik balik aduan — Peguam
Susulan kejadian itu, Alisa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada pukul 5.37 pagi Jumaat, selepas menerima nasihat daripada orang ramai.
Model berusia 26 tahun itu mengakui kecewa dan trauma terhadap insiden berkenaan.
“Bayangkan anda sedang menikmati makan malam dengan tenang, kemudian dapat tahu ada seorang lelaki menyiarkan anda secara langsung sambil membuat jenaka berunsur lucah tentang tubuh anda.
"Itulah yang berlaku kepada saya di Malaysia,” katanya.
Menurutnya, meskipun beliau seorang model yang bebas mengekspresikan diri melalui seni dan tubuh, ia sama sekali tidak memberi hak kepada sesiapa untuk merakam dirinya tanpa izin atau membuat komen berbaur seks.
Alisa berkata, beliau membuat laporan polis bukan kerana marah, tetapi percaya berdiam diri hanya melindungi mereka yang menyakiti orang lain.
“Tiada wanita yang sepatutnya rasa takut untuk mempertahankan diri. Penjara mungkin terlalu berat untuknya, tapi dia sudah menerima hukuman sebenar, rasa malu,” tulisnya.
Model itu turut menzahirkan rasa simpati terhadap pasangan berkenaan dan menyifatkan perbuatan lelaki itu bukanlah sesuatu yang lucu.
“Saya mahu hidup dalam dunia yang mana lelaki melindungi wanita, bukan sebaliknya,” tegasnya.
Untuk rekod, secara umumnya, merakam individu lain tanpa kebenaran boleh dianggap satu kesalahan jenayah, bergantung pada situasi, niat dan konteks rakaman tersebut.
Antaranya, kesalahan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Selain itu, kesalahan juga boleh disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) yang memperuntukkan kesalahan berkaitan penyebaran kandungan lucah, sumbang, palsu, jelik melampau atau mengancam, dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiaya, mengugut atau mengganggu orang lain. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
