'Ini tentang hak wanita', Miss Universe Mexico diarah keluar, peserta lain tunjuk solidariti


  • Maya
  • Rabu, 05 Nov 2025

Miss Mexico Fatima Bosch dihaslau keluar oleh penganjur Miss Universe dalam sidang media yang berlangsung di Thailand baru-baru ini.

SUASANA pra-acara Miss Universe 2025 bertukar tegang apabila Miss Mexico, Fatima Bosch diiring keluar oleh pasukan keselamatan selepas dimarahi secara terbuka oleh pihak penganjur.

Insiden itu mencetuskan tindakan solidariti ramai peserta lain yang turut keluar dewan walaupun diberi amaran akan dibatalkan penyertaan.

Kejadian itu berlaku ketika sesi sidang media yang berlangsung di hotel perwakilan Miss Universe di Bangkok, Thailand baru-baru ini.

BACA LAGI: 'Zaman sekarang perempuan serba boleh', ibu dorong anak ceburi sukan motocross seawal usia 5 tahun

BACA LAGI: 'Gara-gara cucu semua turun main pickleball', bukan saja masak, Toh Puan Raja Noora Ashikin gemar riadah bersama keluarga

Lebih mencuri perhatian, Miss Universe 2024, Victoria Theilvig kelihatan turut keluar meninggalkan acara berkenaan sebagai tanda protes.

 

 

Penganjur Miss Universe hina Miss Mexico

Insiden bermula apabila Nawat Itsaragrisil, Naib Presiden Miss Universe bagi rantau Asia dan Oceania, menegur Bosch kerana tidak menghadiri sesi penggambaran penaja lebih awal.

Menerusi siaran langsung di Facebook Miss Universe Thailand, Nawat meminta Bosch berdiri dan membuat pengakuan di hadapan kamera.

Dilihat gelisah dan tidak selesa dipanggil secara terbuka, beliau mempertahankan diri dan menyatakan haknya.

Namun, Nawat membalas dengan menggelarnya 'bodoh', sebelum mengarahkan pasukan keselamatan mengiringinya keluar.

Ketika Bosch berjalan keluar, puluhan peserta lain kemudiannya turut melakukan perkara sama sebagai simbol sokongan terhadap peserta dari Mexico tersebut.

Nawat kemudian menjerit meminta mereka berhenti dan memberi amaran peserta boleh dibatalkan penyertaan jika meneruskan tindakan keluar dewan.

Walau bagaimanapun, ancaman itu bagaimanapun tidak diendahkan dan kesemua peserta terus meninggalkan dewan hotel berkenaan.

Hak wanita

Victoria Theilvig, salah seorang peserta yang keluar berkata, tindakan itu bukan hanya mempertahankan Bosch, tetapi suara wanita secara keseluruhan.

"Ini tentang hak wanita, kami menghormati semua orang, tetapi cara ini tidak sepatutnya berlaku.

"Memalukan peserta lain adalah melampaui batas, itulah sebabnya saya ambil kot saya dan pergi," katanya.

Sementara itu, Bosch menyifatkan tindakan Nawat sebagai tidak menghormati martabat wanita.

"Saya sayang negara ini dan saya hormati semua orang, tetapi apa yang dilakukan pengarah anda adalah tidak betul, dia panggil saya bodoh.

"Saya tidak mahu ganggu sesiapa, saya hanya mahu lakukan yang terbaik, tetapi dia suruh saya diam, dunia perlu lihat ini kerana kami wanita yang berdaya, tiada sesiapa boleh menutup suara kami," katanya.

Selepas insiden itu tular, Nawat tampil memberikan penjelasan melalui siaran langsung di laman sosial.

Beliau mendakwa kira-kira 20 negara enggan merakam video penaja dan menyifatkan keadaan itu sebagai mengecewakan kerana beliau membiayai keseluruhan acara.

Katanya, beberapa hari kebelakangan ini situasi menjadi kerana sebahagian perwakilan sukar memberi kerjasama.

Namun, beliau menegaskan tidak akan memaksa peserta untuk merakam video selepas ini dan berharap situasi akan kembali tenang.

Kenyataan rasmi Miss Universe

Pertubuhan Miss Universe dalam kenyataan rasmi menegaskan program itu akan diteruskan seperti dirancang dan menekankan komitmen mereka terhadap nilai kepelbagaian, pemerkasaan dan keterangkuman.

Organisasi itu memaklumkan mereka sedang bekerjasama rapat dengan kerajaan dan komuniti termasuk menghantar delegasi peringkat tertinggi ke Thailand untuk mengukuhkan persiapan pertandingan tahun ini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram