PENGANJUR acara sukan tempur Warzone World Championship (WWC), Yusuf Azmi, tampil memohon maaf secara terbuka berhubung insiden yang berlaku ketika sidang media acara itu baru-baru ini yang melibatkan dua peserta bawah umur.
Menurutnya, insiden yang tular itu bukan berlaku secara sengaja, sebaliknya hanya satu gimik promosi yang telah disalah tafsir oleh masyarakat.
"Saya di sini ingin memohon maaf di atas perkara yang berlaku ketika sidang media. Ia hanyalah gimik semata-mata dan tiada unsur emosi atau kekerasan yang sebenar berlaku,” katanya dalam satu video yang dimuat naik di laman Facebook miliknya pada Selasa.
Yusuf menjelaskan bahawa pihaknya menerima segala teguran daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), serta komuniti Muay Thai di seluruh negara.
"Kami masih baharu dalam penganjuran acara berskala besar seperti ini. Saya akui masih banyak yang perlu dipelajari.
"Saya berterima kasih kepada semua pihak termasuk YB Menteri, Timbalan Menteri, Majlis Sukan Negara dan persatuan Muay Thai negeri yang telah menegur dan memberi tunjuk ajar," ujarnya.
Yusuf turut menegaskan bahawa WWC tidak pernah berniat mengeksploitasi kanak-kanak demi tujuan promosi dan mengakui kesilapan dalam pelaksanaan gimik tersebut.
"Saya sendiri seorang yang menentang pembulian dan kekerasan. Saya faham bagaimana tindakan itu memberi persepsi salah. Saya mohon maaf kerana gimik tersebut telah melampaui batas," katanya lagi.
Jelas Yusuf, dia sudah pun menghantar permohonan maaf rasmi kepada KBS, KPM serta semua persatuan Muay Thai negeri, dan berjanji untuk memperbaiki kelemahan dalam penganjuran acara akan datang.
"Saya berjanji tiada lagi gimik atau kandungan promosi yang melibatkan unsur kekerasan mahupun kanak-kanak.
"Semua aktiviti selepas ini akan mematuhi SOP dan garis panduan Majlis Sukan Negara serta undang-undang sukan sedia ada,” tegasnya.
Dalam masa sama, Yusuf berharap agar pihak berkaitan dapat terus memberi kerjasama untuk menaikkan sukan kombat di Malaysia ke arah yang lebih profesional dan beretika.
“Saya tidak mempunyai tujuan lain selain mahu melihat sukan kombat negara maju dan dihormati. Saya mohon maaf sekali lagi dan berlapang dada menerima segala teguran," katanya.
Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh meluahkan rasa sedih dan ralat terhadap tindakan penganjur WWC yang didakwanya menggunakan peserta kanak-kanak mengemukakan permohonan maaf kepada KBS berhubung penganjuran kejohanan tersebut.
Hannah dalam satu hantaran di media sosial berkata tindakan tersebut tidak wajar dan menimbulkan persoalan tentang kebertanggungjawaban pihak penganjur, memandangkan acara tersebut dijalankan tanpa kelulusan rasmi daripada Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576].
"Tolong jangan gunakan kanak-kanak untuk membuat penjelasan seperti ini. KBS tidak memerlukan anak kecil ini untuk meminta maaf. Anak kecil tidak salah. Penganjur perlu bertanggungjawab," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
