Buang sekolah takkan selesaikan kes buli — PIBGN


  • Massa
  • Selasa, 01 Jul 2025

Gejala buli dalam kalangan pelajar di sekolah rendah dan menengah pada masa kini dilihat semakin meningkat. —Gambar hiasan

TINDAKAN membuang pelajar yang terlibat dalam kes buli bukanlah penyelesaian jangka panjang terhadap isu disiplin di sekolah, sebaliknya boleh menyebabkan budaya buli terus menular ke institusi lain.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Datuk Dr Mohamad Ali Hassan berkata, langkah itu hanya 'memindahkan' masalah dan tidak membantu memulihkan pelajar terlibat.

Tegasnya, tindakan itu sekali gus gagal menangani punca sebenar gejala buli yang semakin membimbangkan.

BACA LAGI : Remaja OKU dituduh bunuh warga emas guna cota tepi kedai runcit di Tanah Merah

BACA LAGI : 'Tak pakai seksi pun masih disalahkan', Ain Husniza kecewa usaha perangi gangguan seksual diperlekeh, terima komen tak bermoral

"Saya amat kecewa kerana isu ini masih berterusan. Sudah tiba masanya semua pihak berganding bahu daripada kementerian hinggalah ke peringkat sekolah dan komuniti untuk menangani masalah ini secara menyeluruh dan bukan hanya bertindak apabila sesuatu kes tular di media sosial," katanya kepada Majoriti.

Tambah beliau, pelajar yang terlibat dalam kes buli perlu diberikan peluang kedua melalui pendekatan pemulihan, bukan semata-mata dikenakan hukuman buang sekolah yang tidak membantu membentuk akhlak atau mengubah sikap.

"Kalau hantar pelajar pembuli ke sekolah lain, mereka akan bawa budaya buli ke tempat baharu. Ini bukan penyelesaian.

"Kita perlu fokus kepada pemulihan dan perubahan sikap, termasuk melalui kaunseling, program khidmat masyarakat dan bimbingan kerohanian," ujarnya.

Datuk Dr Mohamad Ali Hassan

Dalam masa sama, beliau mencadangkan agar Kementerian Pendidikan (KPM) menyenaraikan sekolah yang dikenal pasti sebagai 'sekolah panas' untuk dipantau secara berterusan serta diwujudkan kerjasama erat antara pihak dan agensi berkaitan bagi menangani isu disiplin secara bersama.

"Kerjasama antara PIBG, alumni, pemimpin komuniti, ibu bapa dan agensi berkaitan sangat penting.

"Ibu bapa juga jangan ambil mudah. Jika nampak tanda-tanda anak terlibat atau menjadi mangsa buli, segera lapor kepada pihak sekolah supaya tindakan dapat diambil lebih awal," katanya.

Beliau turut mengesyorkan agar Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) atau inisiatif seumpamanya dijadikan salah satu platform pemulihan berstruktur untuk pelajar bermasalah, sekali gus mencegah gejala buli daripada berakar umbi dalam sistem pendidikan negara.

"Ini hanyalah cadangan tetapi berkemungkinan ia berkesan. Mungkin kerajaan atau pihak berkuasa patut menyenaraikan nama pembuli-pembuli tersebut dalam senarai wajib untuk menyertai PLKN.

"Disiplinkan mereka dengan cara yang betul dan berhemah.

"Pada masa sama, kita mahu penyelesaian menyeluruh, bukan sekadar menyingkir pelajar tanpa memulihkan mereka. Kita mahu sekolah jadi tempat yang selamat dan harmoni untuk semua," katanya menutup bicara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram