Bukan suruh rotan atau jerit, ibu bapa perlu ada batas didik anak


Isu buli Zara Qairina Mahathir (kanan) dan kes rogol bergilir-gilir pelajar tingkatan tiga belum selesai, negara dikejutkan pelajar lelaki berusia 14 tahun menikam remaja wanita di sekolah.

DARI isu buli yang tidak berpenghujung kepada kes pelajar senior didakwa merogol bergilir-gilir pelajar tingkatan tiga, terbaharu pelajar perempuan berusia 16 tahun pula maut ditikam remaja lelaki.

Laporan memaklumkan dakwaan cinta ditolak antara sudut yang disiasat polis berhubung kes pelajar lelaki berusia 14 tahun menikam mangsa di sebuah sekolah menengah di Petaling Jaya, Selangor pada Selasa.

Bukan lagi perihal isu disiplin menjadi sorotan utama apabila kejadian-kejadian jenayah yang menimpa pelajar sekolah di tanah air ini seolah-olah sudah menggambarkan keruntuhan institusi keluarga di rumah.

BACA LAGI: 'Jangan sesekali mangsakan orang lain', hukuman rotan bukan penyelesaian hakiki, ibu bapa teman terbaik anak remaja

BACA LAGI: Pelajar maut ditikam Bandar Utama: MCMC ingatkan jangan sebar gambar mangsa

Tidak kurang juga apabila ada suara-suara mula mempersoalkan peranan seorang guru di peringkat sekolah, soalan seperti 'guru sekarang sudah tegas' menjadi pendapat yang dilontarkan sebahagian orang ramai.

Sehubungan dengan itu, sebahagian orang ramai mendesak agar hukuman tegas seperti merotan kembali dilakukan oleh guru sebagai usaha mendisiplinkan pelajar yang semakin sukar dibendung.

Namun, di sebalik perbincangan tentang hukuman dan ketegasan terhadap pelajar, muncul pula suara yang mengajak masyarakat menilai punca sebenar di peringkat asas iaitu keluarga.

Dalam satu hantaran pengguna Facebook, Selvakumar Arunasalam menulis pandangan yang menerima ribuan reaksi apabila dia menyentuh hakikat bahawa krisis disiplin hari ini bermula daripada cara didikan ibu bapa sendiri.

"Ramai yang setuju dengan apa saya tulis tadi (pengalaman didikan sekitar 80-an dan 90-an). Tapi kalau kita nak cakap dengan jujur. Puncanya semua ini, bermula daripada kita sendiri, ibu bapa zaman sekarang.

"Kita ini generasi yang dulu hidup serba terkawal. Dibesarkan dengan disiplin yang ketat, rotan yang sentiasa menunggu, dan pantang larang yang tak pernah habis. Dulu, kalau silap sikit, tegurannya datang terus dari cikgu, jiran, atau mak ayah sendiri.

"Sebab tu bila kita jadi ibu bapa hari ini, kita mula berfikir 'aku tak nak anak aku rasa apa yang aku rasa dulu'. Kita bagi lebih ruang dan kebebasan. Kita kata, 'biarlah anak ini bebas sikit, jangan terlalu tekan'.

"Kita percaya dengan beri lebih kebebasan, anak akan lebih gembira. Tapi tanpa sedar, ruang yang kita bagi makin lama makin luas, sampai anak-anak melampaui batas. Bila tiada batas, mereka mula fikir semuanya boleh, semuanya betul, asalkan 'aku suka'," katanya.

Tulisan itu turut mengingatkan bahawa perubahan gaya keibubapaan yang terlalu longgar kini menjadikan ibu bapa takut untuk menegur anak sendiri, manakala guru pula serba salah untuk bertindak.

"Dulu, kita takut bila orang tua marah. Sekarang kita takut untuk marah anak, risau emosi dia terganggu. Dulu, kita tunduk bila cikgu bersuara. Sekarang, cikgu pula yang serba salah bila nak menegur.

"Dan akhirnya, kita sendiri keliru siapa yang sedang mendidik siapa. Saya bukan suruh kembali ke zaman rotan dan jeritan.

"Tapi saya rasa kita kena menetapkan batas. Batas yang lahir daripada kasih sayang, bukan ketakutan. Batas yang ajar anak beza antara hormat dan kurang ajar," ujar lelaki itu.

Pandangan tersebut membuka dimensi baharu terhadap punca sebenar kemerosotan disiplin dan moral remaja, sekali gus mengajak masyarakat kembali menilai semula nilai kasih sayang, hormat, dan batas dalam mendidik generasi muda. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram