SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memandang serius laporan media mengenai penggunaan platform TikTok bagi merekrut individu untuk aktiviti penyeludupan dadah ke luar negara.
Susulan laporan itu, MCMC telah meminta penjelasan rasmi daripada pihak TikTok berhubung mekanisme pemantauan serta langkah penguatkuasaan dalaman yang dijalankan terhadap kandungan atau iklan disyaki digunakan bagi tujuan jenayah termasuk tawaran kerja palsu yang boleh memperdaya pengguna.
Menurut suruhanjaya itu, penyalahgunaan platform dalam talian untuk merekrut atau memperdaya orang ramai bagi kegiatan jenayah melalui penyebaran kandungan palsu merupakan satu kesalahan serius di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].
BACA LAGI: [VIDEO] Lebih 50 parah letupan masjid di Jakarta Utara, pelajar kerap jadi mangsa buli antara suspek
BACA LAGI: Remaja bawah 15 tahun dilarang sertai sukan tinju, muay thai dan MMA — KBS
"Selain itu, Seksyen 263(1) akta sama memperuntukkan bahawa setiap pemegang lesen bertanggungjawab memastikan rangkaian atau perkhidmatan di bawah kawalannya tidak digunakan bagi tujuan yang menyalahi undang-undang," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
MCMC turut menasihatkan orang ramai agar berwaspada terhadap tawaran kerja mudah di media sosial terutamanya yang melibatkan penghantaran barangan atau bagasi ke luar negara.
"Tawaran seumpama itu sering digunakan oleh sindiket untuk memperdaya mangsa menjadi ‘keldai dadah’," jelasnya.
MCMC akan terus bekerjasama rapat dengan agensi penguatkuasaan seperti Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi memperkukuh pemantauan serta meningkatkan kesedaran awam terhadap risiko penyalahgunaan media sosial bagi kegiatan jenayah rentas sempadan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
