[VIDEO] Lebih 50 parah letupan masjid di Jakarta Utara, pelajar kerap jadi mangsa buli antara suspek


  • Benua
  • Jumaat, 07 Nov 2025

Seorang pelajar yang sering dibuli dipercayai membawa bom buatan sendiri ke masjid sekolah.

SEORANG pelajar Sekolah Menengah Atas Negeri 72 (SMAN 72), Kepala Gading, Jakarta mendakwa bom buatan sendiri atau bom Molotov yang ditemui di masjid sekolah itu dipercayai dibawa oleh seorang pelajar yang sering menjadi mangsa buli.

“Saya rasa pelajar itu mahu membalas dendam dan mungkin juga mahu membunuh diri. Saya nampak ada tiga jenis bom, tapi hanya dua yang meletup,” kata pelajar tersebut ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya lagi, letupan itu berlaku sejurus khutbah Jumaat tamat sebelum Iqamah dibacakan.

BACA LAGI: Remaja bawah 15 tahun dilarang sertai sukan tinju, muay thai dan MMA — KBS

BACA LAGI: CEO GISB, anak Abuya dan 11 pemimpin dibebaskan

“Saya berada di bahagian luar masjid dan terselamat. Baju saya kotor sebab membantu rakan yang cedera,” katanya.

Pelajar berkenaan turut menjelaskan bahawa jemaah yang menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan terdiri daripada pelajar, guru dan kakitangan sekolah sahaja.

Beliau turut memaklumkan bahawa tiada sebarang tanda-tanda awal menunjukkan kejadian itu akan berlaku kerana pada waktu pagi semua aktiviti berjalan seperti biasa.

“Kami sempat menyertai program pendidikan alam sekitar pagi tadi,” ujarnya.

Sementara itu, seorang guru bernama Toto yang berada di belakang imam berkata, dia amat terkejut apabila mendengar bunyi letupan yang kuat.

“Semua orang panik dan berlari keluar dan ada beberapa pelajar yang cedera,” katanya.

Terdahulu, sekurang-kurangnya 54 individu dilaporkan cedera dalam insiden letupan tersebut.

Beberapa individu dilaporkan mengalami kecederaan pelbagai tahap, termasuk melecur dan trauma akibat hentakan selain ada yang cedera ringan dan ada yang mengalami kecederaan serius.

Bagaimanapun, pihak berkuasa masih dalam proses siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar letupan, sama ada daripada kebocoran gas, peralatan elektrik atau unsur jenayah.

Susulan insiden tersebut, pihak pengurusan sekolah telah menangguhkan semua aktiviti di sekolah tersebut sehingga diberitahu kelak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram