MESKIPUN teknologi menghubungkan masyarakat, ia juga membuka ancaman baharu.
Ruang digital kini menjadi sempadan baharu bagi Keganasan Berasaskan Jantina (GBV) yang merangkumi buli siber, penyebaran maklumat peribadi, pemalsuan dijana AI dan pengintipan dalam talian.
Krisis itu mendorong penganjuran kempen aktivisme selama 16 hari menentang keganasan berasaskan jantina yang akan berlangsung dari 25 November hingga 10 Disember.
Kempen itu akan memfokuskan kepada tema global oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu "Bersatu menamatkan keganasan digital terhadap semua wanita dan gadis."
Kempen itu bertujuan memberi penekanan bahawa penderaan dalam talian bukan sekadar alam maya, sebaliknya ia meninggalkan kesan emosi, psikologi serta parut fizikal yang sangat dalam.
Wanita yang mempunyai pengaruh seperti wartawan, aktivis, ahli politik dan pencipta kandungan sering menjadi sasaran utama, namun tiada wanita kebal daripada ancaman itu.
Keganasan itu menjadi teruk bagi wanita daripada komuniti terpinggir atau wanita kurang upaya yang berdepan bentuk diskriminasi berganda.
Menurut UN Women, satu daripada tiga wanita di seluruh dunia mengalami sebarang bentuk GBV sepanjang hidup mereka.
Walaupun kesedaran meningkat, keganasan digital sukar ditangani kerana pelbagai faktor.
Pelaksanaan undang-undang untuk melindungi pengguna dalam talian sering terkebelakang berbanding pergerakan teknologi yang pantas.
Selain itu, pemilik syarikat media sosial juga dilihat lambat dalam bertanggungjawab terhadap kandungan berbahaya yang disebarkan di platform mereka.
Cabaran lain termasuk sifat keganasan yang merentas sempadan, kerahsiaan identiti pelaku, serta peningkatan manipulasi didorong AI, sekali gus menyukarkan mangsa mendapatkan keadilan.
Pada masa sama, kewujudan ruang dalam talian seperti 'manosfera' yang menormalisasikan dan menguatkan kebencian terhadap wanita.

Keganasan berasaskan jantina dalam talian meninggalkan parut mendalam. — Gambar hiasan/Freepik
Sempena ulang tahun ke-30 Deklarasi dan Platform Tindakan Beijing 1995, seruan untuk menjadikan ruang digital lebih selamat bagi wanita dan gadis menjadi tumpuan.
Bagi menjayakan kempen 2025, Pertubuhan Bantuan Wanita (WAO) menyeru masyarakat sivil, pemain sektor swasta dan orang ramai untuk bekerjasama menjayakan Kempen 16 Hari Aktivisme tahun depan.
Pengurus Advokasi WAO, Gandipan Gopalan, menegaskan jenayah digital perlu diiktiraf sebagai keganasan sebenar dengan kesan nyata.
"Keganasan digital bukan sekadar masalah dalam talian, ia adalah masalah sosial. Kita perlu membina undang-undang, sistem dan budaya yang melindungi wanita baik di alam maya mahupun di luar talian," katanya.
Pihak WAO berharap semua pihak dapat terlibat dengan menganjurkan atau menyertai ceramah keselamatan digital.
"Bersama-sama, kita boleh membina dunia digital yang lebih selamat di mana setiap wanita dan gadis boleh hidup, bekerja dan menonjolkan diri mereka secara bebas, baik dalam talian mahupun luar talian," tambah Gandipan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
