PENCIPTA kandungan yang dikenali dengan personaliti 'gengster', Muhammad Mikhael Sathayah, 41, berkongsi momen ibunya, M Muniamah, 75, memeluk Islam selepas tujuh tahun beliau sendiri bergelar mualaf.
Berkongsi berita itu di laman Instagram miliknya, Muhammad Mikhael meluahkan rasa syukur tidak terhingga apabila doa yang dipanjatkan selama bertahun-tahun akhirnya dimakbulkan ALLAH SWT.
“Syukur Alhamdulillah, akhirnya mak kita masuk Islam. Rasa macam mimpi saat ini.
"Tujuh tahun jadi mualaf, tak pernah berani nak ajak mak,” katanya.
BACA LAGI: 'Saya masuk Islam, bukan Melayu,' dugaan mualaf di Gemas dibuang keluarga
Menurut Muhammad Mikhael, sepanjang tempoh itu beliau hanya mampu berdoa agar ibunya diberikan hidayah, terutama ketika menunaikan umrah selama 12 hari.
“Saya hanya mampu berdoa, ‘Ya ALLAH, berikanlah hidayah kepada ibuku, bukalah pintu hatinya',” luahnya yang pernah bekerja di kelab malam selama 10 tahun sejak usia 18 tahun.
Beliau turut mengimbas kembali pengorbanan ibunya yang tidak pernah menghalang ketika dirinya mengambil keputusan memeluk Islam.
Malah kata lelaki yang berasal dari Tambun, Perak, itu, ibu sentiasa menyokong kebahagiaan beliau walau berdepan pelbagai kecaman dan ancaman termasuk daripada keluarga sendiri.
“Mak tak pernah halang saya, walau ramai yang marah kata saya kena tukar nama bapa apabila masuk Islam.
"Namun dengan doa mak, saya dapat berkahwin dan teruskan hidup,” ujar beliau.
Muhammad Mikhael juga menzahirkan penghargaan kepada isterinya, Murni Azwar, yang banyak membantu menjaga ibunya dan menjadi peneman setia dalam perjalanan imannya.
“Terima kasih sayang. Awak jaga mak saya macam mak sendiri. Rezeki ada dua bidadari, mak dan isteri saya,” ungkapnya lagi.
Tambah beliau, ibunya yang sebelum ini kurang sihat sering menjadi sumber kekuatan dan sebahagian daripada setiap kejayaan yang dikecapinya.
Namun kongsinya, baru-baru ini tahap kesihatan wanita itu dilihat agak kurang baik.
"Mak dengan nada bergurau kata 'kalau mak dah tak ada nanti, Mika dengan Murni jaga diri.
"Saya tak nak kehilangan mak, nak mak sentiasa bersama saya.
"(Jadi) saya beranikan juga diri ajak mak (masuk) Islam. Saya nak sentiasa bersama dengan mak," ceritanya yang melafazkan dua kalimah syahadah di pejabat Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) pada 20 September 2018.
Anak bongsu daripada dua beradik itu juga memberitahu, beliau pernah menghadapi kemurungan sehingga perlu memakan ubat dek memikirkan nasib sekiranya ibu sudah tiada.
Beliau bagaimanapun bersyukur hidayah ALLAH SWT itu datang dengan cara yang tidak disangka.
"Hidayah ALLAH sangat kuat, masa itu saya telefon ustaz. Mungkin lagi dua hingga tiga bulan.
"Ustaz kata datang esok boleh tak? Rasa macam semuanya berjalan dengan sendiri. Tak sangka begitu mudah ALLAH berikan hidayah kepada mak kita," ujar beliau.
Muhammad Mikhael bersyukur kerana kini dapat melihat ibunya berkongsi agama dan kehidupan bersama beliau serta isterinya.
“Terima kasih atas pengorbanan mak yang sangat besar. Sekarang kita bertiga dah bersama, saya, mak dan Murni. Selamat kembali kepada fitrah Maimunah Sathayah Muniandy,” tuturnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
