
LEBIH 10 tahun terlibat dalam dunia fesyen, pereka terkenal, Darwennah Siska kini muncul dengan penampilan baharu yang memberi inspirasi kepada orang ramai.
Wanita berasal dari Sabah itu juga berkesempatan berkongsi perjalanan hidupnya sebagai mualaf yang melangkah ke fasa baharu dengan imej berhijab selepas enam tahun memeluk agama Islam.
Kata Darwennah, penghijrahannya merupakan antara hidayah ALLAH dan anugerah terindah dalam hidup.
BACA LAGI: Cantik dan menawan, ketahui 3 fakta unik budaya wanita Kenyah di Borneo
Perjalanannya mengenal agama Islam juga bermula sejak 2018.
"Alhamdulillah, enam tahun berlalu, saya bersyukur dengan kurniaan iman dan Islam.
"Tahun 2018 belajar Islam, 2019 peluk Islam, 2020 mulakan Iqra, 2023 khatam al-Quran pertama saya.
"Kemudian, 2024 masih menuntut ilmu sehingga dapat khatam al-Quran sekali lagi ketika Ramadan 2025," tulisnya menerusi hantaran di Instagram baru-baru ini.
Beliau turut mengakui bahawa kehidupannya dipenuhi dengan dunia fesyen semata-mata untuk pujian dan penilaian orang ramai.
"Sebelum ini saya hidup untuk fesyen, cantik pada mata manusia.
"Tetapi saya belajar, segala yang indah di dunia ini bersifat sementara.
"Pakaian cantik akan lusuh, tepukan akan hilang dan trend tidak kekal.
"Islam mengajar saya bahawa kecantikan sebenar adalah hati yang suci," katanya.
Tambahnya, keputusan untuk memeluk Islam bukanlah disebabkan perkahwinan atau faktor luaran semata.
Penampilan baharu Darwennah selepas enam tahun memeluk Islam. — Threads/Darwennah
Sebaliknya kepercayaan dan keyakinan kepada ALLAH serta mencari kebahagiaan untuk diri sendiri.
Darwennah percaya bahawa setiap manusia termasuk golongan mualaf tidak akan terlepas daripada diuji.
"Sebelum masuk Islam, hidup saya penuh dengan kebingitan, kosong dan sentiasa mencari makna di semua tempat yang salah.
"Tetapi, selepas peluk Islam, saya dapat penjelasan, tujuan dan kedamaian dalam jiwa.
"Islam tidak hanya mengubah cara hidup saya tetapi mengubah cara saya melihat kehidupan itu sendiri.
"Ingat, memeluk Islam bukan untuk perkahwinan atau orang lain, tetapi kerana anda percaya ALLAH adalah Tuhan yang Esa.
"Memang banyak dugaan, tetapi kita kena kuat dan sentiasa memohon pertolongan ALLAH untuk memudahkan jalan," jelasnya.
Selepas enam tahun memeluk Islam, Darwennah kini mengambil langkah untuk berhijab sepenuhnya.
"Mohon doa semua agar saya terus istiqamah. Saya sangat berterima kasih atas sokongan dan doa yang diberikan oleh keluarga serta rakan-rakan selama ini," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram