[VIDEO] Siti Nurhaliza dilantik Profesor Adjung UiTM, bantu perkukuh hubungan strategik universiti, industri kreatif


  • Sukses
  • Khamis, 06 Nov 2025

Siti Nurhaliza (kiri) ketika dilantik sebagai Profesor Adjung Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM. — Instagram/ctdk

BIDUANITI negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, 46, sekali lagi mencatat sejarah selepas dilantik sebagai Profesor Adjung Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

UiTM dalam satu kenyataan memaklumkan, pelantikan itu merupakan pengiktirafan terhadap sumbangan besar Siti Nurhaliza bukan sahaja sebagai ikon seni negara, tetapi juga usahawan wanita berdaya saing yang berjaya membina empayar perniagaan tersendiri.

“Kejayaan beliau yang menampilkan gabungan antara kreativiti, integriti dan daya inovasi dalam mengangkat jenama tempatan ke peringkat antarabangsa menjadi inspirasi ribuan usahawan muda dan mahasiswa di seluruh negara,” katanya pada Khamis.

BACA LAGI: Single pertama sebagai Biduanita Negara, Siti Nurhaliza abadikan perjalanan seni menerusi 'Sejarah'

BACA LAGI: [VIDEO] Siti Nurhaliza dedah 'rahsia' tidak muncul di KLFW, bukan tak hargai pereka tapi...

 

 

Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata, pihaknya amat berbangga menerima penyanyi tersebut sebagai sebahagian daripada keluarga besar universiti.

Pelantikan itu katanya, bukan sahaja mengiktiraf kejayaan beliau dalam industri kreatif dan keusahawanan, tetapi juga menandakan permulaan baharu dalam kolaborasi antara dunia akademia dan industri.

"Pelantikan ini sejajar usaha UiTM melahirkan graduan berilmu, berjiwa usahawan dan berdaya tahan.

“Ia juga memperkukuh ekosistem keusahawanan UiTM dan membuka peluang kepada pelajar untuk menimba ilmu secara langsung daripada tokoh yang telah membina empayar perniagaan berteraskan nilai, kejujuran dan ketekunan,” ujarnya.

Sebagai Profesor Adjung UiTM, pelantun lagu Aku Bidadari Syurgamu akan memainkan peranan aktif dalam membimbing pelajar dan warga akademik melalui sesi perkongsian pengalaman, masterclass, forum keusahawanan serta mentorship industri.

Beliau juga akan membantu memperkukuh hubungan strategik antara UiTM dan industri kreatif selain membuka peluang kerjasama rentas bidang dalam pengkomersialan idea dan inovasi pelajar.

Sementara itu, Siti Nurhaliza melahirkan rasa terharu dan kesyukuran atas kepercayaan yang diberikan oleh UiTM.

“Saya amat berbesar hati menerima pelantikan ini. Bagi saya, keusahawanan bukan hanya tentang keuntungan, tetapi nilai, kejujuran dan tanggungjawab sosial.

"Saya berharap dapat berkongsi pengalaman sebenar agar pelajar memahami bahawa kejayaan datang daripada usaha gigih, kesungguhan dan keikhlasan,” katanya.

Untuk rekod, pelantikan rasmi disempurnakan Shahrin dalam satu majlis yang berlangsung di Bangunan Canseleri UiTM, Shah Alam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram