[VIDEO] Tak mahu susahkan jiran, 2 beradik 'bermalam' 28 hari dengan jenazah ibu


  • Bonda
  • Khamis, 06 Nov 2025

Putri Setia Gita kini dirawat di Hospital Muhammadiyah Boja, Kendal. — Agensi

DUA beradik perempuan ditemui hidup dalam keadaan lemah selepas menjaga jenazah ibu mereka selama 28 hari di Dusun Somopuro, Desa Bebengan, Boja, Kendal, Indonesia.

Mangsa dikenali sebagai Putri Setia Gita Pratiwi, 23, dan adiknya Intan Ayu Sulistyowati, 17, ditemui pada 1 November lalu bersama mayat ibu mereka, Setianingsih, 51, yang sudah mereput di dalam rumah.

Difahamkan kedua-duanya hanya bertahan hidup dengan minum air perigi tanpa sebarang makanan.

BACA LAGI: 'Sebiji macam jaga bayi', anak mandikan ibu strok bagai jenazah, rela jaga selagi ada kudrat

BACA LAGI: Bella Astillah iringi anak hingga garisan penamat, Ayden dan Ara julang gelaran Iron Kids Langkawi

 

 

Insiden itu terbongkar selepas penduduk kampung terhidu bau busuk dari kediaman keluarga berkenaan sebelum menemui pintu rumah terkunci dan disandarkan dengan kerusi.

Menurut Ketua Kampung Bebengan, Wastoni, penduduk yang membuka pintu rumah terkejut apabila melihat dua beradik tersebut tidak bermaya, manakala jenazah ibu mereka sudah dalam keadaan reput.

“Penduduk bertanya di mana ibu mereka, katanya ada di dalam dan apabila diperiksa, wanita tersebut sudah meninggal dunia,” katanya memetik laporan berita TribunJateng.com pada Khamis.

Siasatan mendapati, Setianingsih meninggal dunia sejak awal Oktober, namun kedua-dua anaknya tidak memaklumkan kepada sesiapa kerana menghormati pesan terakhir si ibu agar tidak menyusahkan jiran.

“Ibu melarang kami beritahu sesiapa. Saya hanya minum air yang dimasak di dapur sejak 4 Oktober,” kata Putri.

Selepas diselamatkan, Putri dan Intan kini dirawat di Hospital Muhammadiyah Boja, Kendal.

Menurut pegawai perubatan, Dr. Arfa Bima Firizqina, kedua-duanya mengalami dehidrasi dan gangguan psikologi, namun paras gula darah masih normal meskipun sudah hampir sebulan tidak makan.

“Tiada tanda gula darah rendah, tetapi mereka lemah dan kekurangan air.

"Ketika dibawa masuk, adiknya tidak sedarkan diri, manakala kakaknya masih boleh bercakap namun sering keliru,” jelasnya.

Pihak hospital kini memberi tumpuan pada pemulihan fizikal dan mental dua beradik itu.

Pihak hospital kini memberi tumpuan pada pemulihan fizikal dan mental dua beradik itu. — Agensi

Keluarga

Difahamkan, bapa mereka meninggal dunia pada 2017 ketika menetap di Kalimantan.

Sejak itu, keluarga kecil tersebut berpindah ke Boja pada 2019 dan hidup dalam keadaan sederhana.

Setianingsih tidak bekerja tetap dan hanya membantu saudara-maranya untuk menampung kehidupan.

Sementara itu, Pemangku Pegawai Daerah Kendal, Dyah Kartika Permanasari berkata, Putri dan Intan akan ditempatkan di Rumah Margi Utomo di Semarang.

Kejadian itu turut menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat setempat.

Namun, ketua kampung menafikan dakwaan jiran sekitar tidak mengambil berat terhadap keluarga tersebut.

“Kami tidak tahu apa-apa kerana mereka tidak pernah keluar rumah. Bau busuk itulah yang akhirnya membuka rahsia sebenar,” katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram