NAMA Tasha Mae mungkin belum sepopular atlet sukan utama negara.
Namun susuknya mula meraih perhatian rakyat Malaysia susulan videonya menggayakan baju kebaya pemberian nenek di Amerika Syarikat (AS) tular pada Mei lalu.
Dilahirkan dan dibesarkan di Petaling Jaya, Selangor, wanita itu mula berkenalan dengan bola tampar ketika umurnya mencecah sembilan tahun sewaktu menuntut di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Puay Chai.
BACA LAGI: [VIDEO] Tasha Mae anggun berkebaya warisan nenek ketika berkunjung ke Konsulat Malaysia LA
BACA LAGI: Anak usia 3 tahun tunjuk ciri kurang keyakinan diri, kecewa, ini penjelasan pakar kaunseling
Kongsi Tasha kepada Majoriti, bakatnya mula menyerlah ketika diterima masuk ke Sekolah Sukan Bukit Jalil pada usia 14 tahun.
Dari situ, langkah atlet kacukan Cina dari sebelah ibu dan India di sebelah bapa itu semakin jauh, sehingga berjaya mewakili pasukan kebangsaan di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
Pada 2019 pula, Tasha sekali lagi mengharumkan nama negara apabila mewakili Malaysia di Sukan SEA Filipina.
Selepas menamatkan sekolah menengah, Tasha mula beralih ke bola tampar pantai, versi permainan yang lebih mencabar kerana hanya melibatkan dua pemain di atas gelanggang berpasir.
"Berbeza dengan bola tampar di dalam dewan, versi pantai menuntut ketahanan luar biasa.
“Main atas pasir sangat mencabar. Kena berdepan matahari, angin dan pasir pantai tapi di situlah seronoknya,” ujar Tasha, yang menganggap sukan itu bukan sekadar permainan fizikal, tetapi juga ujian mental.

Tasha tidak terlepas daripada rasa tertekan dan kecewa sekiranya prestasi dalam permainan tidak memuaskan. — Tasha Mae
Tasha kemudian membuat keputusan berhijrah ke AS untuk menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Psikologi di California State University Northridge (CSUN) selain meneruskan minatnya dalam sukan.
Bercerita lanjut, Tasha memberitahu, di sana mereka menggabungkan sukan dan pendidikan dengan sangat baik.
“Saya fikir kenapa tidak cuba? Jadi saya hubungi jurulatih di beberapa universiti.
"Akhirnya saya diterima untuk bermain bola tampar dan belajar sekali gus,” jelasnya yang kini menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana di San Diego University for Integrative Studies (SDUIS) dalam Psikologi Sukan.
Anak sulung daripada dua beradik itu berkata, sistem pendidikan di AS lebih menekankan pemikiran kritis dan kerja berpasukan.
Sebagai pelajar dan juga atlet, jadual Tasha begitu padat.
“Pagi ada latihan di gimmnasium kemudian sesi di pantai, petangnya pula kelas.
"Namun semua itu berbaloi sebab dapat buat apa yang saya suka setiap hari,” ujar wanita berketinggian 177 sentimeter itu.

Kongsi Tasha (belakang, tengah), sistem pendidikan di AS lebih menekankan pemikiran kritis dan kerja berpasukan. — Tasha Mae
Mengakui budaya sukan di AS juga jauh berbeza, kongsi Tasha, jika ibu bapa di Malaysia lebih gemar menghantar anak ke tuisyen, di AS pula mereka cenderung membawa anak ke latihan sukan.
Dari kecil jelasnya, masyarakat di sana sudah biasa bersaing dan itulah yang menjadikan mereka sangat kuat dalam bidang itu.
Mental
Akui Tasha yang menjadi pemain bola tampar pantai Malaysia pertama beraksi dalam Divisyen Satu Kejohanan Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) di AS pada 2022, cabaran terbesar baginya ialah menjaga kesihatan mental.
Ada kalanya jelas beliau, apabila prestasi tidak memuaskan, dirinya tidak terlepas daripada rasa tertekan dan kecewa.
"Namun saya belajar sukan bukanlah keseluruhan identiti diri, sebaliknya hanya sebahagian daripada kehidupan," katanya yang gemar menulis jurnal sebagai cara melepaskan tekanan.

Tasha (dua dari kanan) bersama keluarganya yang banyak menyokong minat dan cita-citanya dalam sukan. — Tasha Mae
Setiap atlet pasti pernah melalui saat sukar dan bagi Tasha, kecederaan merupakan antara ujian besar yang pernah dilaluinya.
Pernah terseliuh pergelangan kaki dan patah tulang di kaki gara-gara salah mendarat, beliau terpaksa berehat selama beberapa bulan serta bergantung pada tongkat untuk bergerak.
“Masa itu memang sedih sebab saya baru sampai ke AS, sangat teruja nak main dan rasai pengalaman baharu tapi tiba-tiba kena rehat dan buat rawatan pemulihan pula,” katanya.
Namun, pengalaman tersebut menjadi titik pembelajaran penting buat dirinya.
“Saya belajar untuk lebih 'mendengar' badan sendiri. Dulu kalau rasa sakit saya akan paksa diri juga sebab semangat nak main.
"Namun sekarang saya lebih faham pentingnya berehat apabila perlu,” ujarnya yang mengidolakan pemenang pingat emas Olimpik Atlanta 1996 acara bola tampar pantai, Kent Steffes.

Tasha mengenakan kebaya nyonya warisan neneknya yang berketurunan Cina ketika di AS. — Tasha Mae
Selain aktif dalam arena sukan, Tasha juga gemar memperkenalkan budaya Malaysia kepada rakan-rakannya di luar negara.
Ketika pulang bercuti tahun lalu, beliau sempat mengenakan kebaya nyonya warisan neneknya yang berketurunan Cina semasa acara rasmi di universiti.
“Ramai yang puji kebaya itu cantik dan saya bangga dapat berkongsi budaya Malaysia dengan mereka,” katanya yang pernah dijemput berkunjung ke Konsulat Jeneral Malaysia di Los Angeles pada September lalu.
Ditanya perkembangannya terbaharunya, Tasha kini dalam persiapan untuk mewakili Malaysia di Sukan SEA 2025 yang akan berlangsung di Bangkok, Chonburi dan Songkhla, Thailand pada hujung tahun ini.
Beliau meluahkan hasrat untuk membawa nama Malaysia dengan segala pengalaman dan ilmu yang diperoleh di luar negara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
