BEKAS Miss Malaysia World 2007, Deborah Henry menyifatkan insiden panas dalam pertandingan Miss Universe 2025 baru-baru ini sebagai cerminan pada dinamika kuasa yang tidak sihat di sebalik gemerlapan pentas ratu cantik.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai tindakan Pengarah Miss Universe Thailand, Nawat Itsaragrisil yang secara terbuka menegur dan menggelar Miss Universe Mexico, Fatima Bosch sebagai dumbhead (bengap).
Insiden pada 4 November itu berlaku selepas Nawat mendakwa Bosch enggan memuat naik bahan promosi berkaitan Thailand sebagai negara tuan rumah.
BACA LAGI: 'Ini tentang hak wanita', Miss Universe Mexico diarah keluar, peserta lain tunjuk solidariti
Menurut Deborah atau nama penuhnya, Deborah Priya Henry, 40, peristiwa ketika sashing ceremony itu mencerminkan masalah lama yang masih menghantui dunia pertandingan ratu cantik.
“Pertandingan ratu cantik sepatutnya lebih daripada sekadar rupa paras.
"Ia seharusnya menjadi platform untuk advokasi, pertukaran budaya dan pertumbuhan peribadi.
"Namun terlalu kerap para peserta dilayan seperti barang pameran, dijangka tersenyum walaupun tidak selesa dan patuh tanpa persoalan,” katanya menerusi hantaran di laman Instagram miliknya pada Khamis.
Deborah yang pernah mewakili Malaysia di pentas Miss World dan Miss Universe itu turut mendedahkan, situasi sedemikian bukanlah sesuatu yang asing baginya.
Ujar wanita berkelulusan University of Queensland, Australia itu lagi, hubungan antara penaja, pemilik dan pengarah pertandingan sering kali mengaburkan batas profesional, seterusnya mencipta suasana wanita muda terpaksa berdepan tekanan serta permainan kuasa yang halus.
“Kita cepat belajar, bila perlu bersuara dan bila perlu diam,” ujarnya sambil menyifatkan tindakan Miss Mexico yang berani menegakkan maruah diri sebagai langkah penting memecahkan ‘peraturan senyap’ yang selama ini membelenggu peserta.
Menurut Deborah, tindakan beberapa peserta lain yang keluar sebagai tanda solidariti juga wajar dipuji kerana menunjukkan kesedaran tentang kuasa agensi diri.
Relevan
Deborah dalam pada itu menegaskan, pertandingan ratu cantik masih boleh kekal relevan jika berani berdepan kontradiksi dalaman.
Selain itu jelasnya, platform tersebut juga perlu menukar arah daripada hanya menjadi tontonan kepada satu gerakan yang benar-benar memperkasakan wanita.
“Pertandingan ini akan terus bermakna apabila ia mengangkat martabat wanita, bukan memanipulasinya.
"Ia perlu memperkuat suara wanita, bukan mengawalnya,” katanya.
Beliau turut mengajak masyarakat bertanya sama ada pertandingan sebegitu masih boleh dianggap memperkasakan wanita.
Sedangkan tuturnya, struktur asalnya masih menilai kepatuhan lebih daripada keaslian dan persaingan lebih daripada solidariti.
“Peserta pertandingan ini luar biasa, mereka bijak, bercita-cita tinggi dan berani, tapi mereka juga masih muda serta mudah terpengaruh.
"Pentas ini tidak sepatutnya menjadi taman permainan untuk ego atau eksploitasi. Mereka bukan bidak dalam permainan kuasa,” tegasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
