SUSUK pelukis dan pereka berasal daripada Syria-Amerika Syarikat (AS), Rama Duwaji kini menjadi tumpuan masyarakat global.
Berpangkalan di New York City, beliau dikenali dengan karya lukisan hitam putih yang menggambarkan wanita, menggunakan garisan ekspresif untuk meneroka tema seperti persaudaraan, identiti Arab, pengalaman bersama dan penentangan politik.
Walaupun ramai mungkin belum mengenali karya seninya, nama Duwaji mula menjadi perhatian selepas suaminya, Zohran Mamdani dipilih sebagai Datuk Bandar Muslim pertama New York.
Duwaji jarang berkongsi tentang kehidupan peribadinya di media sosial dan hanya sedikit yang diketahui tentang keluarganya di Dubai.
Beliau dilahirkan di Houston dan menetap di Texas sehingga keluarganya berpindah ke Dubai ketika dirinya berumur sembilan tahun.
Wanita tersebut pernah menuntut di Virginia Commonwealth University School of the Arts di Qatar sebelum berpindah ke kampus universiti itu di Richmond untuk menamatkan pengajian.

Duwaji (kiri) dan Mamdani berkahwin di mahkamah di Lower Manhattan.
Berkenalan melalui aplikasi janji temu pada 2021, janji temu pertama mereka diadakan di Qahwah House, sebuah kedai kopi Yaman di Brooklyn.
Menurut laporan CNN, pasangan berkenaan kemudian berkahwin di mahkamah di Lower Manhattan.
Pada usia 28 tahun, Duwaji akan menjadi anggota Generasi Z pertama yang bakal menetap di kediaman rasmi Datuk Bandar di Gracie Mansion, jika pasangan itu memilih untuk tinggal di sana.
Dalam karya seninya, Duwaji sering melukis wanita kulit berwarna, dengan tujuan menonjolkan keunikan, keindahan dan kisah hidup mereka yang penuh kerumitan.
Beliau menggunakan platformnya untuk mencipta naratif visual yang menyentuh isu semasa selain memperjuangkan komuniti terpinggir, khususnya di dunia Arab.
Duwaji juga lantang menyuarakan sokongan terhadap Palestin. Pada 2021, beliau berkongsi satu ilustrasi yang menunjukkan tiga individu berdiri berpegangan siku dengan tulisan dalam bahasa Arab, 'Kami tidak akan pergi'.

Duwaji akan menjadi anggota Generasi Z pertama yang bakal menetap di kediaman rasmi Datuk Bandar di Gracie Mansion.
“(Lukisan ini adalah) sebagai tanda solidariti dengan Palestin dan keluarga di kejiranan Sheikh Jarrah yang berdepan pengusiran dari rumah mereka sendiri, ia satu bentuk pembersihan etnik,” tulisnya dalam hantaran itu.
Awal tahun ini, Duwaji turut berkongsi satu ilustrasi mengenai krisis kebuluran yang berterusan di Gaza.
“Ketika menyiapkan karya ini, Israel sedang mengebom Gaza tanpa henti dengan serangan udara bertubi-tubi.
"Teruskan beri perhatian kepada Gaza dan sokong @goprojecthope,” katanya.
Karya Duwaji pernah dipaparkan di The New Yorker, The Washington Post, BBC, Apple, Spotify, Vice dan Tate Modern.
Beliau juga pernah mengadakan pameran solo di Virginia dan Beirut, dengan portfolio merangkumi ilustrasi editorial, cetakan skrin, ilustrasi kanak-kanak dan novel grafik.

Dalam karya seninya, Duwaji sering melukis wanita kulit berwarna, dengan tujuan menonjolkan keunikan, keindahan dan kisah hidup mereka yang penuh kerumitan.
Selain melukis, beliau turut menghasilkan seramik buatan sendiri, terutamanya pinggan berilustrasi dalam warna biru dan putih.
Ketika pandemik Covid-19 melanda dunia, Duwaji menghabiskan sebahagian besar masanya bersama keluarga di Dubai sebelum berpindah ke AS.
“Saya memang bercadang untuk berpindah ke New York sebelum pandemik.
"Akhirnya, saya berpindah juga, ketika itu belum ada vaksin dan saya berada di bandar baharu tanpa ramai kenalan.
“Saya cuba membina komuniti ketika orang ramai masih berhati-hati bersosial.
"Saya mula menghubungi individu kreatif menarik yang saya kenal melalui Instagram, dan sebenarnya ramai di sini terbuka untuk berkenalan," ceritanya memetik laporan majalah Yung pada 2022. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
